WAN Saiful pada Mesyuarat Agung Tahunan GPMS. FOTO Mahzir Mat Isa
WAN Saiful pada Mesyuarat Agung Tahunan GPMS. FOTO Mahzir Mat Isa
Nadia Hamid


PENULIS Buku Harapan, Wan Saiful Wan Jan, hari ini, secara terbuka memohon maaf kepada rakyat kerana gagal menepati janji menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN berkata, agensi itu sudah cuba mencari mekanisme terbaik untuk merealisasikan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, namun gagal.

Katanya, ia termasuk tuntutan rakyat supaya kerajaan melaksanakan janji untuk menangguhkan pembayaran hutang PTPTN kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000.

"Saya telah berbulan-bulan berusaha memikirkan bagaimana untuk melaksanakan janji ini dengan bantuan daripada pengurusan PTPTN.

"Hari ini, saya mahu memohon maaf kerana janji ini tidak dapat kita laksanakan.

"Saya merasa bertanggungjawab kerana sayalah yang menulis janji itu dalam Buku Harapan, setelah mendapat input daripada pelbagai pihak.

"Ketika itu (merangka manifesto), saya tidak tahu hutang negara dan hutang PTPTN sebegitu besar.

"Hutang PTPTN (ketika itu) hampir RM40 bilion, dan jika janji ini diteruskan, hutang PTPTN akan menjadi bebanan besar kepada negara," katanya.

Beliau membuat pengumuman maaf terbuka itu ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan 2018, di ASWARA, hari ini.

Wan Saiful menjelaskan pengurusan PTPTN sudah lama berusaha untuk menyelesaikan hutang PTPTN namun tidak berjaya.

"PTPTN sudah lama nak (cuba) menguruskan hal ini. Di sini, saya ingin menzahirkan kekaguman kepada pengurusan PTPTN kerana kesungguhan menyelesaikan isu ini. Saya yakin kita boleh menguruskannya secara lebih baik," katanya.

Wan Saiful berikrar untuk cuba menepati janji prinsip asal, iaitu sekurang-kurangnya meringankan beban peminjam anak muda yang berpendapatan rendah.

"Saya akan lakukan pengumuman lanjut tidak lama lagi. Saya masih tunggu laporan mesyuarat Kabinet sebelum buat pengumuman," katanya.

Ketika ditanya apa antara dasar baharu PTPTN yang akan diumumkan, Wan Jan mengakui dasar baharu itu lebih kurang sama dengan prinsip ditetapkan kerajaan terdahulu.

"Mereka yang cemerlang akan ada

keistimewaan diberikan," katanya merujuk kepada keputusan kerajaan terdahulu menukar status PTPTN kepada biasisiswa kepada pelajar cemerlang kelas pertama.

Sementara itu, Wan Saiful menggesa pucuk kepemimpinan parti gabungan PH mengadakan mesyuarat meja bulat untuk membincangkan hala tuju janji manifesto parti politik itu.

"Sudah sampai masanya pemimpin atasan negara dan pemimpin atasan parti PH memutuskan janji mana yang boleh dicapai segera, janji mana yang perlu dijadualkan semula, dan paling penting janji mana yang perlu kita batalkan terus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 10:28 PM