Shah Alam: Pertama kali menikmati bahang final membuatkan tonggak tengah Selangor, Saiful Ridzuan Selamat (tiga dari kiri) begitu teruja menantikan sepak mula saingan final Piala Malaysia, Ahad ini.

Saiful, 24, yang diberi kepercayaan sepenuhnya pengendali pasukan, K Gunalan dalam merencanakan gerakan berbahaya ke kubu lawan mungkin bakal membarisi kesebelasan utama pasukan itu.

Katanya, sejak Gunalan diberi tanggungjawab selaku pembimbing menggantikan Zainal Abidin Hassan pada Ogos lalu, dia sering menjadi pilihan jurulatih itu berbanding tonggak senior lain.

“Pemilihan itu banyak membantu saya terutama dalam meningkatkan tahap keyakinan dan persembahan. Begitupun untuk aksi final ini, sudah tentu mana-mana pemain mahu beraksi kerana ia perlawanan terbesar dengan semua tertumpu kepada aksi itu.

“Saya juga teruja dan tidak sabar untuk merasai suasana final nanti.

“Sasaran peribadi sudah tentu mahu memastikan final pertama saya ini berakhir dengan gelaran juara supaya menjadi kenangan paling manis dalam karier,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di sini, semalam.

Mengulas mengenai kekuatan pihak lawan, bekas pemain Harimau Muda itu menegaskan enggan terlalu memikirkan soal itu sebaliknya mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 11:48 AM