Fazley ketika menenangkan Upiak yang menangis selepas penyingkirannya di GV8, Ahad lalu.
Fazley ketika menenangkan Upiak yang menangis selepas penyingkirannya di GV8, Ahad lalu.

Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Fazley Yaakob, 43, berkongsi mengenai keakrabannya dengan penyanyi Indonesia, Upiak Isil, 35, yang juga rakan seperjuangan di dalam program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

Perkongsian dibuat Fazley itu menjawab persoalan ramai netizen apabila tular di media sosial mengenai kisah Upiak yang menangis teresak-esak selepas cef selebriti popular berkenaan diumumkan tersingkir, Ahad lalu.

"Kenapa Upiak menangis? Sebenarnya kami sangat akrab sepanjang pertandingan. Ini kerana, dia juga tidak ada saudara mara dan kenalan rapat di sini, jadi sayalah tempat untuk Upiak berkongsi suka dan duka setiap hari.

"Kebetulan pula kampung Upiak di Bukit Tinggi bersebelahan kampung asal usul ibu saya di Pagaruyung. Sudah tentulah banyak titik persamaan di antara kami berdua," tulisnya di Instagram.

Tambah penyanyi yang popular dengan panggilan Abang Asmara itu lagi, tangisan penyanyi lagu Tak Tun Tuang itu benar-benar meninggalkan kesan kepada emosinya.

"Saya lebih terkesan melihat rintihan dan tangisan Upiak malam itu (kelmarin) berbanding penyingkiran saya sendiri.

"Saya pun terima segalanya dengan hati sangat terbuka. Apabila kita mengatur, Allah akan menyusun dengan lebih baik," tulisnya lagi.

Dalam hantaran di Instagram itu, Fazley juga menitipkan doa buat Upiak yang dianggap sebagai adiknya.

"Adindaku Upiak, abang sentiasa mendoakan kekuatan dan kejayaan Upiak. Selamat berjuang!" tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 6:12 PM