Upiak Isil
Upiak Isil
Ridzuan Abdul Rahman


Putrajaya: Penyanyi Indonesia, Upiak Isil, 35, mendedahkan dia tidak memaklumkan kepada ahli keluarganya mengenai penyertaan di dalam pertandingan Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang sudah membuka tirai, malam semalam.

    Upiak yang pernah popular dengan lagu Tak Tun Tuang berkata dia lebih selesa membuat hal sendiri dan fokus memikirkan apa yang diinginkannya dalam kehidupan.

   "Saya sebenarnya dah dua bulan tidak bercakap dengan keluarga. Ini kerana saya seorang yang suka berfikir dan tiada apa-apa masalah pun dengan mereka kerana lebih selesa berdiam.

   "Kalau saya nak tenang memang kena asingkan diri dan suka macam itu serta boleh menyiapkan lagu. Apapun, saya tahu keluarga pasti selalu doakan yang terbaik," katanya kepada Harian Metro. 

   Meskipun gemar bersendiri, Upiak berkata dia masih saja sering menghubungi adiknya dan selalu mengirimkan duit belanja buat emaknya untuk kegunaan keperluan.

   Mengulas juga komen negatif netizen terhadapnya, Upiak tanpa berselindung meluahkan perasaan kecewa dengan tindakan segelintir warganet yang amat keterlaluan di media sosial.

   "Kenapa ada mereka yang sanggup komen orang sebegitu, umpama ingin menjadi tuhan dalam hidup saya? Rezeki dan kesempatan itu bukan mereka yang aturkan," katanya. 

   Upiak atau nama sebenarnya Silvia Nanda berkata, banyak pihak pernah mengingatkan dia agar  apabila terjun ke bidang seni mesti kena kuat mental.

   "Kalau tak kuat (mental) tak payah baca. Tapi, saya di Malaysia ketika ini belajar buat tidak peduli saja. Apapun kita buat, tetap ada salah dimata mereka (netizen) yang tidak suka. 

   "Saya juga tidak membaca komen di Instagram kerana memang pedih. Apalagi, saya jenis orang yang terlalu berfikir. Dengan komen-komen negatif begitu akan buat saya tidak yakin diri. 

   "InsyaAllah saya akan buktikan kemampuan di dalam pertandingan GV8 ini. Namun saya bukanlah hebat sangat," katanya ditemui pada konsert minggu pertama GV8 itu.

   Selain Upiak, peserta GV8 ialah Aweera, Azan (Scan), Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk Adibah Noor, Ani Mayuni, Suki, Nikki Palikat, Nico, Saiful Apek dan Yassin Senario termasuk Alif Aziz mewakili Singapura.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 4:23 PM