Dira Abu Zahar
Dira Abu Zahar

Kuala Lumpur: Pelakon Datuk Dira Abu Zahar, 37, berazam mahu meneruskan legasi arwah bapanya, Datuk Seri Abu Zahar untuk menabur bakti kepada masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Jasin, Melaka.

Disebabkan itu, Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar menawarkan diri untuk bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di kawasan itu pada Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka.

"Sesungguhnya DUN Rim, Jasin ini begitu dekat di hati saya dan kampung saya membesar di sini. Saya gagahkan diri mengambil tanggungjawab ini demi mengikut jejak langkah arwah ayahanda saya, Datuk Seri Abu Zahar untuk menabur bakti dan menyumbang khidmat kepada rakyat.

"Banyak yang sudah dilakukan oleh pemimpin BN terdahulu dan menjadikan Melaka sebuah negeri maju. Saya percaya legasi kecemerlangan pentadbiran ini perlu diteruskan semula. Bukan untuk yang lain, tetapi untuk kita semua," katanya.

Menerusi hantaran di Instagram, Dira juga berharap mendapat sokongan daripada masyarakat di sana untuk PRN Melaka kali ini.

"Saya memohon agar pengundi N.25 DUN Rim memberikan kepercayaan dan mandat kepada saya untuk mewakili anda semua. Saya calon nombor tiga pada 20 November ini," katanya.

Bapa Dira pernah menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Rambai pada 1986 selama dua penggal, diikuti DUN Merlimau (1995-1999) dan Parlimen Jasin (1999-2004).

Allahyarham juga pernah menjadi Ketua Menteri Melaka kelapan menggantikan Datuk Seri Mohd Zin Abd Ghani yang meninggal dunia akibat angin ahmar pada 1997.

Semalam, Harian Metro melaporkan seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 3:50 PM