Ekhwan Haque Fazlul Haque


Jasin: Bergelar selebriti bukanlah tiket untuk menjadi selesa dan mudah memenangi hati pengundi.

Itu cabaran dihadapi Datuk Khaidhirah Abu Zahar, 37, atau Dira Abu Zahar yang diangkat sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurutnya, menjadi anak seni bukan laluan mudah mendapatkan mandat rakyat malah dia perlu berusaha keras memenangi hati pengundi.

CALON BN DUN Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira. FOTO Amir Mamat
CALON BN DUN Rim Datuk Khaidirah Abu Zahar atau Dira. FOTO Amir Mamat

"Sebagai calon muda saya mahu tampil dengan pembaharuan lebih segar dan menyeluruh kepada pengundi Rim.

"Saya akui amanah diberikan parti memang besar untuk digalas namun saya terima kerana mahu menyahut cabaran dan membawa perubahan," katanya kepada Harian Metro.

Dira berkata, rekod penyandang sebelum ini iaitu Datuk Ghazale Muhamad memang cemerlang menjadikan ia satu cabaran untuk meneruskan legasi kecemerlangan.

Katanya, pelbagai potensi boleh dibangunkan di kawasan Rim supaya kek ekonomi dapat dirasai masyarakat setempat tanpa mengira usia.

"Saya mahu bersama membangunkan Rim dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan pengundi pada PRN Melaka kali ini.

"Saya tidak mahu janji bulan dan bintang namun saya tawarkan khidmat yang boleh membawa Rim ke satu tahap yang lebih baik," katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Tambahnya, legasi ditinggalkan Allahyarham bapanya yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin akan diteruskan sebaik mungkin kepada rakyat Melaka.

Katanya, kerajaan yang stabil perlu diwujudkan supaya agenda pembangunan menyeluruh dari semua aspek dapat dilaksanakan.

"BN sudah buktikan gerak kerja membawa pembangunan kepada rakyat Melaka dan kepercayaan dan amanah itu perlu diteruskan," katanya.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 3:06 PM