GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) memerlukan ihsan orang ramai untuk menderma darah bagi menampung bekalan yang semakin berkurangan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HSB, Dr Siti Nadiah Abdul Kadir berkata, penularan wabak itu menyebabkan berlakunya penurunan kutipan darah selain kebimbangan daripada kalangan penderma darah.

Katanya, keperluan darah meningkat baru-baru ini berikutan peningkatan jumlah kes pembedahan elektif dan kes lain yang memerlukan transfusi darah.

"Ketika pandemik berlaku penurunan kutipan darah kerana banyak institusi pengajian awam dan swasta yang ditutup.

"Jumlah penderma darah di Unit Pendermaan Darah juga semakin berkurangan, tanpa stok darah yang mencukupi, proses merawat pesakit mungkin terjejas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Siti Nadiah berkata, proses derma darah mudah dan hanya mengambil masa antara 30 hingga 45 minit saja dan setiap satu penderma darah mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Katanya, kriteria asas penderma adalah berumur antara 17 hingga 60 tahun, sihat tubuh badan, tidur melebihi lima jam dan tidak mengambil ubat terlarang serta memiliki berat badan 45 kilogram ke atas.

"Justeru kami berharap lebih ramai orang dapat tampil membantu menderma darah dalam masa terdekat ini.

"Individu yang ingin berbuat demikian boleh hadir ke Unit Pendermaan Darah HSB atau Pusat Darah Wilayah di sebelah Penjara Alor Setar dan sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian 04-7406051," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 10:39 AM