Jonah Hill
Jonah Hill
Syafil Syazwan Jefri


Los Angeles: Bintang Hollywood, Jonah Hill tidak mahu bentuk badannya dijadikan bahan gurauan oleh mana-mana pihak.

Dalam hantarannya di Instagram, Hill, 37, mengakui tidak selesa apabila membaca komen-komen netizen mengenai bentuk badannya.

"Saya tahu niat anda semua baik, tapi saya minta dengan cara baik supaya tidak menulis komen mengenai bentuk badan saya," tulisnya.

Menurutnya, setiap komen itu tidak membantu dan tidak memberi sebarang manfaat kepadanya.

"Baik atau buruk komen itu, saya dengan penuh sopan dan beradab ingin anda semua tahu bahawa ia tidak membantu dan tak buatkan saya selesa. Tolong hormat," tulisnya.

Sebelum ini, Hill pernah memuat naik hantaran mengenai dirinya yang menjadi mangsa 'bodyshaming' dan mendapat sokongan daripada beberapa rakan selebriti serta peminat.

Rata-ratanya meminta dia supaya meletakkan batasan antara dirinya dengan netizen yang ingin menyentuh isu bentuk badannya.

Hill mula bersuara mengenai isu bentuk badan dan sebelum ini berkongsi bagaimana dia bersusah payah untuk tampil dengan bentuk badan ideal dan mula menerima dirinya apabila menjengah usia pertengahan 30-an.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 10:27 AM