BCL yang kini menjalani proses kuarantin kendiri.
BCL yang kini menjalani proses kuarantin kendiri.
Syafil Syazwan Jefri


Jakarta: Penyanyi dan pelakon, Bunga Citra Lestari menafikan dirinya dijangkiti Covid-19 selepas pulang bercuti di Bali. 

Dalam hantaran yang dimuat naik di Instagram Story, Bunga atau mesra disapa BCL menjelaskan kronologi keberadaannya di Bali pada 29 Mei hingga 2 Jun lalu.

"Perhatian kepada sesiapa yang berkaitan. Pertama, saya ke Bali pada 29 Mei hingga 2 Jun.

"Kedua, saya sudah melakukan aktiviti dan bekerja di Jakarta mengikut prosedur kesihatan yang ada dan sudah menjalani ujian PCR pada 12 Jun," tulisnya.

Dalam hantaran sama, BCL juga menjelaskan mengenai beberapa penarinya yang disahkan positif pada 13 Jun.

"Beberapa penari saya disahkan positif pada 13 Jun selepas berinteraksi dengan saya pada 10 Jun 2021.

"Saya sekali lagi menjalani ujian PCR pada 14 Jun 2021 dan disahkan positif," tulisnya.

Dalam masa sama, BCL menegaskan bahawa dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa dia dijangkiti Covid-19 selepas bercuti di Bali.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saya dijangkiti Covid-19 kerana percutian saya di Bali.

"Mohon cari maklumat yang sahih terlebih dahulu sebelum keluarkan sebarang kenyataan!" tulisnya.

Menerusi hantaran itu, BCL turut menulis keterangan yang mengajak orang ramai menyebarkan kasih sayang dan bukan kebencian.

"Marilah kita menjadi orang yang lebih cerdas dan bijak. Mari sebarkan kasih sayang dan bukan kebenian," katanya.

Hantaran itu sebagai maklum balas BCL kepada beberapa komen negatif yang menyalahkannya kerana bercuti di Bali antaranya, komen daripada pemain dram Superman Is Dead, Jerinx. 

"Jangan kau jadikan Bali sebagai kambing hitam ya! Kau sedap-sedap bercuti ke sini, lepas dah puas, kau bangga dijangkiti Covid-19. 

"Rakyat Bali sudah cukup melarat untuk drama-drama Covid-19 ala selebriti dari ibu kota," tulis Jerinx dalam ruangan komen di Instagram BCL. 

Terdahulu, BCL berkongsi berita mengenai dirinya yang disahkan positif Covid-19 dalam satu hantaran di Instagram beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 11:17 AM