ERRA Fazira
ERRA Fazira

Kuala Lumpur: "Agaknya jodoh sebenar dah nak dekat kot."

Demikian balasan penyanyi, pelakon dan pengacara popular, Erra Fazira dalam ruangan komen di Instagram bekas Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil yang meluahkan bahawa dirinya turut menjadi 'sasaran' banyak pihak selepas tular berita mengenai Erra dikatakan sudah berkahwin dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam komen sama, Erra juga meluahkan rasa penat untuk menjawab pelbagai pertanyaan mengenai perkara itu, namun menganggap setiap kata-kata itu sebagai doa.

"Sabar sekejap ya abang. Tuan punya badan pun naik 'lunyai' kena tanya. Dah jawab pun, mereka tanya lagi.

"Tak apa abang. Agaknya, jodoh sebenar dah nak dekat dah sebab orang cakap, kata-kata itu doa," tulisnya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Erra menafikan dia sudah berkahwin dan menjelaskan statusnya masih lagi ibu tunggal.

Sebelum ini, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, pelakon dan pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003, namun bercerai pada 2006.

Erra kemudian mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran pada 2007 tetapi turut berakhir dengan perceraian pada 2014.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 5:06 PM