ERRA Fazira.
ERRA Fazira.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Aleesya gembira bila ada adik," kata pelakon dan penyanyi, Erra Fazira mengenai anaknya, Engku Aleesya Engku Emran yang kini menerima kehadiran ibu tiri baru, Noor Nabila selepas bapanya, Engku Emran Engku Zainal Abidin berkahwin dengan kakak Neelofa itu.

Erra ketika ditemui di majlis pelancaran pelitup muka Himaya berkata, ia sekali gus memenuhi impian Aleesya yang selama ini inginkan adik.

"Dia sangat gembira bila adanya Jayden (Jebat) sebagai adik. Saya juga menasihatkannya supaya menjadi kakak yang baik buat Jayden," katanya.

Menurut Erra, Aleesya sangat menyayangi adik tirinya itu dan selalu bercerita mengenai Jayden atau nama sebenarnya Jebat Jayden Ahmad.

"Dia selalu cerita Jayden sangat pintar dan dia sangat sayangkan adiknya itu. Memang nampak sangat dia sayangkan adiknya sebab dia pun sudah berusia 11 tahun.

"Saya selalu ajar Aleesya supaya sentiasa menghormati orang lain lebih-lebih lagi kepada pasangan ayahnya," katanya.

Ditanya sama ada Aleesya akan menerima sekiranya Erra ingin berumah tangga, Erra berkata, anaknya pernah melarang.

"Dia pernah melarang saya berkahwin, tapi saya harap dia bergurau saja," katanya.

Diminta mengulas mengenai perkahwinan bekas suaminya itu, Erra berkata, itu adalah kehidupan peribadi Emran.

"Itu adalah hidupnya dan saya tak mahu bercakap apa-apa. Yang pasti, saya yakin Aleesya akan disayangi oleh keluarga ibu tirinya kerana dia akan dikelilingi wanita-wanita cantik dalam keluarga itu," katanya. Ditanya bila gilirannya untuk naik pelamin, Erra menyerahkan semuanya kepada takdir.

"Saya masih lagi menunggu dan melihat. Semuanya saya serahkan kepada jodoh. Kalau ada, akan ada. Setakat ini, saya masih sendiri dan tidak ada sebarang ikatan dengan sesiapa," katanya.

Erra sebelum ini dikatakan menjalin hubungan cinta dengan penyanyi, Shahir Zawawi, namun, ia dikatakan sudah putus.

"Sekarang dah tak ada apa-apa. Cuma masih lagi berhubung, tapi setakat itu saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 4:09 PM