Maia Estianty
Maia Estianty
Agensi

Jakarta: Penyanyi Maia Estianty, 45, berkongsi berita keadaan dirinya yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan kulit yang selama ini tidak diketahui masyarakat.

   Maia yang juga bekas isteri pemuzik terkenal Indonesia, Ahmad Dhani berkata, dia kini disahkan mengidap sakit kulit dipanggil 'rosacea'.

  Menurutnya penyakit ini sememangnya sukar untuk disembuhkan.

   Bagaimanapun dia yang kini bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Irwan Mussry menjelaskan penyakitnya itu masih boleh dikawal dan tidak mudah merebak. 

   "Guys (kalian semua), saya kini mengidap penyakit 'rosacea' iaitu penyakit kulit yang selalu kelihatan merah-merah dan sukar untuk disembuhkan. 

   "Jadi kenapa kita ada klinik dan doktor untuk merawat? Alasannya adalah merawat supaya kita tetap kelihatan segar dan muda," katanya di saluran YouTube Maia AlElDul TV. 

   Sebelum ini, Maia juga pernah memaklumkan agak mustahil untuk dia berdamai apatah lagi, mendekatkan diri dengan bekas suami, Ahmad Dhani.

 Dia juga melarang percubaan anak-anaknya iaitu Al Ghazali, El Rumi dan Dul Jaelani untuk cuba menjernihkan hubungan di antara mereka kerana tidak mungkin akan terjadi.

   Sementara Ahmad Dhani pula menyifatkan bekas isterinya itu, sebagai wanita yang gemar bercakap mengenai orang lain atau 'ghibah' terutama kepada isterinya, Mulan Jameela.

  Menurutnya, Mulan Jameela berdepan dengan pelbagai kata-kata tidak baik daripada Maia sejak 15 tahun lalu dan ada antaranya bersifat fitnah.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 2:00 PM