Hari ini kali pertama Shuib dapat jumpa, sentuh baby Ayash.
Hari ini kali pertama Shuib dapat jumpa, sentuh baby Ayash.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Suami kepada Allahyarham Siti Sarah Raissuddin, Shuib, 37, berkongsi khabar gembira buatnya hari ini apabila dapat meluangkan masa selama tiga jam di hospital melawat anak bongsu, Ayash Affan, berusia sebulan yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad difahamkan berpeluang berjumpa bayinya itu buat pertama kali di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) selepas 37 hari dilahirkan dan masih dirawat di sana.

Menerusi hantaran dikongsi di Instagram, Shuib berkata anak keempatnya itu berada dalam keadaan sihat dan comel dengan berat badan kini mencecah 2.6 kilogram kerana kuat menyusu.

"Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. Nikmat yang cukup indah bila dapat luangkan masa tiga jam dengan Ayash Affan. Syukur Ayash sihat, berat dah 2.6 kilogram, menyusu kuat dan comel sangat-sangat.

"Muka macam daddy la ibu. Memang istimewa sangat hadiah dari ibu. Allahuakbar. I (Saya) harap you (awak) ada di sini sayang," tulisnya di Instagram Stories.

Semalam, Shuib menerusi hantaran di Instagram Stories juga melahirkan perasaan teruja apabila diberi kebenaran melawat anaknya buat kali pertama yang lahir secara pra-matang itu.

"Alhamdulillah, dihari kelahiran, Allah hadiahkan berita gembira. Esok (hari ini) dah boleh ke hospital tengok Ayash Affan. Esok akan jadi hari pertama melihat dan menyentuh Ayash Affan," tulisnya.

Dia turut mengenang kembali pesanan Allahyarham Siti Sarah yang memintanya agar menjaga anak mereka sebaik mungkin.

"InsyaAllah, alhamdulillah hari ini jumpa Ayash Affan. Masih ingat lagi ibu selalu cakap benda yang sama berulang kali.

"Baby yang keempat ini you (awak) jaga dia tau, you jaga tau, you jaga okey.

"InsyaAllah sayang, i (saya) akan jaga dia macamana i jaga you sampailah dia jadi anak yang soleh. Anak yang akan menjadi kebanggan you dunia dan akhirat.

"Anak yang selalu dekat dengan Allah. Cuma i mohon you doakan perjalanan i, perjalanan i masih jauh. Doakan i selalu kuat. I Love You Sayang," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 8:04 PM