Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelawak dan penyanyi Achey, 35, menempelak tindakan segelintir individu yang bertindak agresif ketika menyertai perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di Dataran Merdeka, di sini, semalam.

Achey berkata, perkongsian video di Instagram miliknya mengenai kelakuan tidak beradab itu diharap dapat menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat.

"Salah satu benda ini terjadi disebabkan rumah agama sudah kurang dikunjungi. Oleh itu, akhlak tak tersemai dalam diri.

"Ia sekadar pandangan sahaja. Jika salah, saya minta maaf. Contoh sudah ada, tapi yang ini jangan ikut. Buat iktibar buat semua," katanya.

Terdahulu Achey berkongsi video kelakuan sekumpulan individu yang gagal menjaga adab dan akhlak ketika menyertai perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' itu.

Menerusi hantaran video yang dikongsikan terdapat anak muda yang menunjukkan jari tengah dan mengeluarkan kata-kata kesat selain tidak memetahuhi prosedur operasi standard (SOP).

Menurut Achey, rakyat sepatutnya bertindak lebih bijak dalam menangani isu yang berlaku kini, sebaliknya bukan bertindak mengikut perasaan.

"Kalau macam ini punya SOP maknanya masjid boleh pergi la kan?

"Kalau ada yang gagal kita betulkan... Ini kalian pula yang macam tak betul ni, kenapa?

"Nak protes biar hati-hati jaga diri dan akhlak," katanya.

Terdahulu, ratusan individu berarak dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka, semalam.

Kumpulan itu yang memakai baju hitam, antara lain dilihat membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah.

Polis dilihat turut melakukan pemantauan dari udara menggunakan helikopter, selain menutup beberapa laluan menuju ke Dataran Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 2:49 PM