Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 15 kereta dan sebuah motosikal didapati berkonvoi serta mengibarkan bendera hitam sebagai tanda menyertai himpunan #LAWAN untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan di sekitar pusat bandar, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya mengesan kehadiran kenderaan berkenaan yang bergerak dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar ke pusat bandar jam 11.30 pagi tadi.

"Hasil pemerhatian dilakukan, kami berjaya mengenal pasti semua nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dengan merakam video pergerakan konvoi berkenaan.

"Semasa pemerhatian dilakukan, kami mendapati sebuah daripada 16 kereta berkenaan dinaiki tiga individu dan mereka dikenakan kompaun serta merta di lokasi.

"Tindakan kompaun diambil kerana mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas kesalahan melebihi had jumlah penumpang dalam kenderaan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, berdasarkan pemeriksaan nombor pendaftaran kenderaan dilakukan pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki yang pernah dikompaun sebelum ini kerana menyertai perhimpunan membawa jenazah di Dataran Merdeka, di sini, minggu lalu.

Konvoi #LAWAN daripada Bangsar menuju ke Pusat Bandar. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Konvoi #LAWAN daripada Bangsar menuju ke Pusat Bandar. FOTO Fariz Iswadi Ismail

"Hasil pemeriksaan terhadap salah sebuah kereta berkenaan mendapati pemiliknya adalah seorang lelaki berusia 30-an yang pernah dikompaun kerana menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka, minggu lalu.

"Semua pihak yang terbabit dalam konvoi itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut kerana berkonvoi, berhimpun serta mengadakan aktiviti sosial dalam tempoh PKP.

"Kes itu mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga ada mengesan sebuah lagi perhimpunan yang akan diadakan di sekitar pusat bandar pada 31 Julai ini.

"Saya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan di daerah ini supaya melupakan hasrat itu kerana kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 4:24 PM