SonaOne, A Nayaka serta YHB Sleepsalot tak menyesal guna bahasa Melayu dalam lirik lagu.
SonaOne, A Nayaka serta YHB Sleepsalot tak menyesal guna bahasa Melayu dalam lirik lagu.
Georgie Joseph


TAKRIFAN tepat buat tiga sahabat juga rapper iaitu SonaOne, A Nayaka dan YHB Sleepsalot adalah moden, inovatif, serta terkini.

Berkongsi sebagai rakyat serantau, mereka sentiasa mahukan industri rap di sini setaraf pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, mereka tetap tidak akan lupa terhadap kekayaan elemen nusantara yang sememangnya dibanggakan rakyat Asia Tenggara.

Justeru, elemen itu disuntik dalam lagu baharu gandingan mereka bertiga berjudul Orang Lain.

Dilancarkan baru-baru ini, ternyata mereka cukup teruja dengan hasil gabungan idea dalam lagu itu yang disifatkan cukup padu.

Mereka juga tidak menyesal untuk memasukkan lirik bahasa Melayu dalam lagu berkenaan.

SonaOne berkongsi, dia sendiri merasa kuasa lagu itu akan lebih terserlah apabila menggunakan lirik dwibahasa. Bukan sekadar lirik bahasa Inggeris, mereka mahu menekankan aspek nusantara sebagai elemen penting dengan mengetengahkan lirik Melayu dan Indonesia juga.

"Memang kami bertiga jenis yang sukakan inovasi dalam karya dihasilkan. Bagaimanapun, untuk lagu berentak seperti Orang Lain, belum ada rasanya lagu dwibahasa sebegitu yang pernah dihasilkan.

"Secara peribadi, saya sendiri memang nakkan sebuah lagu bahasa Melayu yang segar, tampil kelainan, dan mampu melekat dengan mudah dalam kepala. Justeru, saya meminta A Nayaka untuk turut memasukkan bahasa Indonesia ke dalamnya.

"Hasilnya, gabungan lirik yang kami lakukan itu berhasil mendapat bunyi lebih sempurna paduannya. Ia menjadikan elemen nusantara itu lebih pekat dalam lagu berkenaan sebagaimana kami inginkan," katanya.

KERJASAMA tiga rapper yang berlaku secara organik.
KERJASAMA tiga rapper yang berlaku secara organik.

LAGU Orang Lain nyanyian A. Nayaka, SonaOne, dan YH Sleepsalot tampil kelainan dan berkonsep nusantara.
LAGU Orang Lain nyanyian A. Nayaka, SonaOne, dan YH Sleepsalot tampil kelainan dan berkonsep nusantara.

Dihasilkan secara maya disebabkan sekatan perjalanan yang dikuat kuasa sekarang, tidak menjadi masalah buat mereka bertiga. Sebaliknya, A Nayaka mengakui penghasilan lagu itu tiada cacat cela pun meski rakamannya tidak dibuat bersama.

"Kami memang sudah cukup memahami sesama sendiri dan memang terbiasa dengan corak kerja dibuat menerusi dalam talian saja. Justeru, tiada masalah pun dari segi itu apalagi kami juga sudah arif dengan bahagian masing-masing.

"Saya secara peribadi memang sangat percaya terhadap citarasa SonaOne dan YHB Sleepsalot. Kerjasama yang terjalin antara kami berlaku dengan sangat organik dan tiada rasa apa-apa tekanan," katanya.

Sebagai pendatang baharu pula, YHB Sleepsalot tidak merasa kerdil pun apabila bergandingan dengan dua rapper senior itu. Sebaliknya, kerjasama itu membuka perspektifnya jadi lebih luas untuk tonjolkan lagi sisi terbaiknya.

"Apabila SonaOne menghantar rakaman rentak lagu itu, saya memang sangat teruja. Semestinya saya tidak mahu lepaskan peluang bekerjasama kerana lagu itu sendiri memang sangat kuat dan menarik," katanya

Bercerita lebih lanjut mengenai pembikinan Orang Lain, A Nayaka akui dia sangat bersyukur dengan pembabitan SonaOne dan YHB Sleepsalot untuk menjayakan karya terbabit. Baginya, aura lagu itu lebih terasa dengan gandingan mereka bertiga.

"Walaupun sebahagian besar aspek lagu ini banyak datang daripada saya, tapi adunannya oleh SonaOne, manakala 'mastering' dibuat bersama rakan sekerja. Saya turut membuat seni kulit dengan seorang rakan lain, begitu juga dengan video liriknya.

"Apapun, saya gembira kerana tidak banyak pihak terbabit dalam projek ini. Ia memberi peluang kepada saya untuk benar-benar pedulikan semua aspek. Mungkin ini adalah projek pertama, di mana hampir semuanya hasil titik peluh saya," katanya.

Dalam pada itu, single Orang Lain turut mendapat sambutan hangat rakyat Malaysia di platform TikTok.

Menerusi Freestyle Challenge Orang Lain yang dimulakan sendiri oleh A Nayaka pula berjaya menarik ramai orang menyertai cabaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 6:50 AM