Syafil Syazwan Jefri

[email protected].

Bagi peminat setia SonaOne, kehadiran single baru berjudul Again sememangnya dinanti.

Menerusi lagu Again ciptaan sepenuhnya penyanyi, rapper dan komposer berusia 29 tahun ini, ada kelainan yang ditampilkan.

Susunan muzik misalnya, ada beberapa rentak segar yang jarang kita dengar dalam karyanya sebelum ini diselitkan.

Tidak terlalu sarat, Again sedap dilayan dan masih mengekalkan identiti hip hop dan R&B si penyanyi.

Paling mencuri perhatian adalah bunyi dram bass pada bahagian awal Again, sebelum melangkah ke bahagian korus yang lebih mantap.

Lebih mantap, lagu ini diadun jurutera muzik dari Amerika Syarikat, Chris Athens.

Tidak hairan ada bunyi muzik antarabangsa kerana Athens sendiri pernah bekerja untuk beberapa nama besar antaranya Drake, Charlie Puth, Rick Ross, PartyNextDoor dan DJ Khaled.

Lebih menarik, SonaOne mempertaruhkan vokalnya di samping lantunan bait rap.

Liriknya berkisar peluang kedua buat seseorang untuk membuka hati dan menerima cinta baru.

Tentunya, ia berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah kecundang dalam percintaan.

“Saya ambil masa dua bulan untuk menyiapkan lagu ini. Sedikit sebanyak ia diinspirasikan daripada kisah cinta saya ketika remaja dulu.

“Lagu ini juga boleh dikaitkan dengan rutin saya sejak empat tahu lalu apabila perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya sebagai pemuzik dan kehidupan peribadi.

“Again dihasilkan tulus dari hati dan saya sangat berpuas hati dengan single ini. Kalau nak tahu, yang diperdengarkan ini adalah versi yang keempat dan paling memuaskan untuk disajikan kepada pendengar,” katanya.

INFO

• Lagu: Again

• Penyanyi: SonaOne

• Komposer dan lirik: SonaOne

• Label & Edaran: Sony Music Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 4:20 AM