Teigen.
Teigen.
Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS berdiam diri buat seketika, pengacara yang juga isteri kepada penyanyi John Legend, Chrissy Teigen bersuara di Instagramnya dan memohon maaf kerana sikapnya sebagai pembuli.

Dalam hantarannya awal pagi tadi, Teigen memuat naik tangkap layar tulisannya di aplikasi Medium, berkongsi rasa penyesalan dengan sikap dan tindakan yang pernah dilakukannya terhadap beberapa individu termasuklah penyanyi, Courtney Stodden.

"Hai semua. Ia adalah beberapa minggu yang buatkan saya bermuhasabah. Saya tahu, saya memilih untuk berdiam diri dan Tuhan tahu bagaimana, saya berada dalam situasi yang menjadi seperti hukuman buat saya.

"Setiap saat saya memikirkan mengenai penyesalan atas apa yang pernah saya katakan di masa lalu," tulisnya.

Tambahnya, dia juga malu atas tindakannya dan tidak menyangka bagaimana dia tergamak melakukan perkara sebegitu.

"Seperti yang anda semua tahu, beberapa ciapan saya kembali diperkatakan dan semua ciapan itu adalah satu perkara yang teruk. 

"Saya malu dengan mereka (mangsa buli). Bila lihat mereka, saya faham bagaimana terlukanya mereka dengan sikap saya.

"Saya sendiri tertanya kepada diri sendiri, bagaimana saya tergamak melakukan perkara itu?" tulisnya.

Sebelum ini, Stodden yang juga penyanyi lagu Pleasure berkongsi kisah menjadi mangsa buli apabila 

Chrissy menghantar mesej kepadanya dan membuli dengan kata-kata yang tidak sepatutnya.

"Dia bukan sahaja menulis ciapan secara terbuka, tetapi juga menghantar mesej dan menyuruh saya bunuh diri. Katanya, dia tak sabar menunggu saya mati," ujarnya dalam satu temu bual bersama media antarabangsa.

Menutup tulisannya, Chrissy memohon maaf dan menganggap sikapnya adalah tidak matang ketika bertindak sebagai pembuli.

"Saya mohon maaf bukan sahaja kepada seorang, tetapi ramai yang menjadi mangsa. Saya faham, mereka mungkin tak mahu bercakap dengan saya.

"Saya tidak matang dan pada ketika itu, saya rasakan seperti saya perlu tarik perhatian orang yang saya sendiri tidak kenal untuk diterima," jelasnya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 12:15 PM