PUTERI Sarah Liyana tidak teragak-agak membuat laporan polis. FOTO arkib NSTP
PUTERI Sarah Liyana tidak teragak-agak membuat laporan polis. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah Liyana memberi amaran kepada pengguna Instagram yang berselindung di sebalik akaun palsu supaya berhenti melakukan provokasi di media sosial ibu mentua serta adik iparnya.

Sarah ketika ditemui berkata, selepas pemilik akaun palsu itu berhenti menyerang Instagram miliknya, kini individu terbabit cuba menyerang ahli keluarga sehingga ingin mengetahui segala perkembangannya.

"Jika perkara ini berterusan, saya tidak teragak-agak membuat laporan polis dan mencari dalang sebenar yang berselindung di sebalik akaun palsu itu.

"Saya tak suka melihat ibu mentua dan adik ipar diserang dan diperli di Instagram. Tak sangka selepas akaun palsu itu berhenti menyerang saya, dia beralih kepada ahli keluarga yang lain pula. Berhenti mengintip segala perkembangan saya dan cuba membuat onar untuk merosakkan hubungan saya dengan ahli keluarga mentua," katanya ketika ditemui pada majlis pelantikan dua anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah sebagai duta produk mandian bayi, BuBu Kids, di sini, semalam.

Menurut Sarah, dia enggan menuduh mana-mana pihak dalam isu serangan membabitkan ahli keluarganya, namun dia percaya individu terbabit mungkin orang yang sama menyerangnya sebelum ini.

"Saya cuma ingin berpesan supaya hentikan segala komen buruk terhadap saya, ibu mentua dan adik ipar. Ibu mentua sentiasa memberikan sokongan dan dia sentiasa ingatkan bahawa tiada siapa boleh merosakkan hubungan saya dengan suami serta ahli keluarga lain," katanya.

Terdahulu, Sarah memberi amaran kepada pemilik akaun palsu yang cuba mengintip segala perkembangannya sehingga mengganggu dan melakukan provokasi di akaun media sosial ibu mentua dan adik iparnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 4:12 PM