AERIL jalani kuarantin di rumah sementara menunggu panggilan daripada KKM. FOTO IG AERIL ZAFREL
AERIL jalani kuarantin di rumah sementara menunggu panggilan daripada KKM. FOTO IG AERIL ZAFREL
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Aeril Zafrel bersama pengurusnya disahkan positif Covid-19 selepas membuat ujian saringan, semalam.

Aeril berkata, dia mungkin dijangkiti virus itu ketika menghantar pengurusnya yang mengalami demam panas ke klinik, Isnin lalu.

"Saya tidak ada ada sebarang gejala. Cuma, pada Isnin lalu saya hantar pengurus ke klinik sebab dia demam.

"Saya tidak mengesyaki dia dijangkiti Covid-19 sebab sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dia hanya duduk di rumah. Dia pun tidak tahu dapat jangkitan dari mana. Disebabkan itu, semalam kami buat ujian saringan dan hasilnya positif," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aeril, selepas disahkan positif dia terus mendapatkan khidmat klinik berkaitan untuk membuat ujian ke atas isteri, tiga anak dan semua kakitangannya.

"Sementara menunggu keputusan semalam, di rumah saya tak memeluk atau bersentuhan dengan mereka. Selepas disahkan positif, saya terus menghubungi pihak klinik dan mereka datang ke rumah untuk buat ujian saringan. Alhamdulillah, mereka semua negatif.

"Sekarang, saya menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu panggilan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya berada di tingkat atas dan tidak keluar bilik. Saya juga sudah menyerahkan maklumat diri.

"Ini adalah kali keempat saya buat ujian saringan sejak penularan wabak ini. Saya pula jenis kalau rasa tak sedap badan, terus buat saringan. Bukan apa, saya bimbang akan keselematan anak-anak yang masih kecil dan orang sekeliling," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 12:54 PM