NORLIA GHANI
NORLIA GHANI
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Terima kasihlah pada orang yang dah buat nama saya 'trending' di Twitter. Saya tak marah, walau pun itu perbuatan tidak beradab sebenarnya," kata pelakon senior dan berkaliber, Norlia Ghani, 72.

Norlia yang sudah berlakon sejak 1968 dan cukup popular dengan watak Joyah dalam drama Opah berkata dia faham tindakan segelintir generasi muda masa kini yang begitu terpengaruh dengan media sosial.

"Budak zaman sekarang, dengan era saya masa muda belia dahulu jauh beza. Kalau saya dahulu, dengan orang tua ini memang diajar untuk beradab sopan dan hormat. Tapi, sekarang dah lain.

"Tak apalah, saya pun biarkan sahaja. Cuma, dua ke tiga hari ini nama saya terasalah popular semula. Banyak pihak penyiar seperti radio dan TV yang cari saya untuk temubual.

"Kiranya, daripada nama Norlia Ghani itu mungkin orang dah tak ingat lagi, tiba-tiba sahaja kerana perbandingan 'kecantikan' Kavitha Sindhu pada usia 49 tahun itu dikaitkan dengan saya, terus jadi popular tiba-tiba," katanya kepada Harian Metro.

Norlia berkata walaupun cuba dimalukan oleh individu berkenaan di Twitter, namun dia tidak terfikir mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit dan memanjangkan cerita.

"Saya tak fikir nak saman orang itu pun. Malah, saya sampai sekarang memang aktif berlakon sahaja. Kalau media sosial itu adalah kemas kini Instagram dan Facebook. Saya tak ada Twitter dan dapat tahu yang nama 'trending' ini pun daripada cucu.

"Pada mulanya, terkejutlah juga saya sebab terfikir buruk sangat ke muka Norlia Ghani sampai dibuat perbandingan sebegitu? Tapi, lantaklah tak payah peduli sangat pun," ujarnya.

Norlia berkata apa yang lebih difikirkannya sekarang, sehingga bila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 ini akan berlanjutan dan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan.

Jelasnya, dia lebih memikirkan faktor untuk kelangsungan pendapatan kerana memang bergantung sepenuhnya dengan kerjaya lakonan. Ditambah, berlakon adalah minat dan dia tidak pernah terfikir mahu bersara.

Menurut Norlia, rezekinya dalam lakonan hingga kini masih ada untuk dia mengisi watak sesuai usianya. Pada hujung Disember, tahun lalu Norlia sempat menghabiskan penggambaran drama Bujang Haji untuk TV AlHijrah sebanyak 13 episod.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 12:21 PM