ALLAHYARHAM Ramli Ismail.
ALLAHYARHAM Ramli Ismail.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Bapa kepada pelakon Rusdi Ramli iaitu Ramli Ismail meninggal dunia akibat terjatuh ketika hendak pergi bilik air, 3 pagi tadi.

Bekas isteri arwah yang juga pelakon veteran, Norlia Ghani berkata, arwah meninggal pada usia 78 tahun di rumahnya di Damansara Damai, Petaling Jaya.

"Saya dimaklumkan arwah terjatuh ketika nak ke bilik air awal pagi tadi. Selepas itu dia terus tak sedarkan diri. Anak arwah cuba memberikan bantuan pernafasan melalui mulut (CPR) tapi gagal.

"Kemudian mereka (anak dan isteri) menghubungi ambulans dan arwah dikejarkan ke Hospital Sg Buloh. Namun arwah tak dapat diselamatkan," katanya kepada Harian Metro.

Norlia berkata, jenazah Allahyarham kini berada di Masjid Damansara Damai untuk dimandikan dan dikebumikan di kawasan berhampiran.

"Setahu saya arwah tak ada sebarang penyakit lain. Mungkin ini sudah ajalnya. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya.

Norlia dan allahyarham berkahwin pada 1969 dan dikurniakan empat anak iaitu Rusdi, Romiza, Eddie dan Amy. Namun mereka bercerai pada 1986.

Kemudian arwah berkahwin kali kedua dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 23 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 11:03 AM