NORLIA (kiri) dikejutkan dengan berita cucunya, Mohd Fakrulnizam Zainal (kanan) dimasukkan ke Hospital Ampang kerana demam denggi berdarah. FOTO Arkib NSTP dan Ihsan Norlia Ghani
NORLIA (kiri) dikejutkan dengan berita cucunya, Mohd Fakrulnizam Zainal (kanan) dimasukkan ke Hospital Ampang kerana demam denggi berdarah. FOTO Arkib NSTP dan Ihsan Norlia Ghani
Ridzuan Abdul Rahman


"SAYA terpaksa kuatkan hati dan kena terima semuanya. Saya anggap ini sebagai satu dugaan," kata pelakon veteran Norlia Ghani berkenaan situasi yang dilaluinya sekarang.

Norlia, 70, berkata, dia yang berada di Kuala Kangsar untuk penggambaran filem Kuala Lambat The Movie arahan Melissa Saila, dikejutkan dengan berita cucunya, Mohd Fakrulnizam Zainal dimasukkan ke Hospital Ampang kerana demam denggi berdarah.

"Siapa yang tak panik apabila diberitahu perkara ini. Saya buat keputusan balik sekejap untuk tengok dia semalam.

"Alhamdulillah, cucu sudah melepasi tahap kritikal dan dikeluarkan dari Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Dia kini dimasukkan ke wad biasa tapi dengan pemantauan rapi doktor," katanya kepada Harian Metro.

Norlia merancang untuk ke Kuala Kangsar semula esok bagi menghabiskan penggambaran filem yang dijadualkan tamat pada 10 Ogos ini.

Bagaimanapun, dia dikejutkan pula dengan berita kakak sulungnya, Faridah dimasukkan ke hospital kerana kurang gula dalam badan.

"Saya bersyukur kerana keadaan cucu sudah stabil. Tapi dalam masa sama diuji pula dengan kejadian terbaru hari ini.

"Saya berdoa supaya semua ahli keluarga kembali sihat daripada sebarang sakit.

"Apapun saya positif kerana nak buat macam mana kalau dah sakit nak datang," katanya.

Menurut Norlia, dia juga sering berhati-hati menjaga kesihatan kerana faktor umur.

"Namun syukurlah saya tiada sebarang penyakit yang serius.

"Apabila bekerja, saya kena habiskan. Insya-Allah, semoga urusan saya dipermudahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 4:25 PM