NABILA Razali pada majlis pelancaran duta terbaru minuman Befine. FOTO Rohanis Shukri
NABILA Razali pada majlis pelancaran duta terbaru minuman Befine. FOTO Rohanis Shukri
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Nabila Razali, 28, akur terpaksa tolak tawaran menyanyi serta kerja yang memerlukannya bercakap banyak kerana masalah peti suara dialami belum pulih sepenuhnya.

Nabila juga akur dia tidak dapat beraksi menyanyikan lagu Peluang Kedua pada Semi Final Muzik Muzik 35 (SFMM35) pada 15 Disember ini, selepas dinasihatkan oleh doktor untuk berehat.

Menurutnya, masalah kesihatan dialami itu mungkin tak nampak serius, tapi kesan jangka masa panjangnya amat berbahaya sekiranya tidak sembuh.

"Masalah kesihatan saya ini memang disebabkan peti suara. Susah untuk dihuraikan, namun kesimpulannya saya perlu berehat daripada menggunakan secara berlebihan dalam percakapan.

"Masalah ini mula berlaku sewaktu latihan menyanyi sebagai persediaan untuk SFMM35. Suara saya kedengaran bermasalah dan sebaik mendapatkan rawatan, doktor memberitahu memang ia berkaitan kesihatan.

"Saya juga ada bertanya dengan rakan penyanyi lain dan memang ada yang pernah mengalaminya. Masa untuk sembuh bukan sekejap, malah ada berbulan-bulan hingga bertahun," katanya.

Oleh demikian, Nabila reda tempatnya bakal digantikan penyanyi lain yang masih dirahsiakan di episod ketiga SFMM35. Yang pasti, menurutnya dia yakin penyanyi terbabit bakal meninggalkan impak hebat.

Dalam pada itu, Nabila tetap bersyukur apabila rezeki lain hadir untuknya selepas terpaksa ketepikan seketika bidang nyanyian. Baginya, kelangsungan karier perlu diteruskan meski terlepas banyak tawaran lain.

"Tidak mengapalah, rezeki untuk menyanyi mungkin ditarik buat masa ini. Tapi, rezeki lain seperti menjadi duta produk pula makin murah dan saya sangat bersyukur," katanya

Terdahulu, Nabila ditemui media ketika hadir pada acara perlantikannya sebagai duta minuman, BeFine.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 5:36 PM