SYARIKAT produksi muzik video mohon maaf tuduhan ciplak, akui kesilapan.
SYARIKAT produksi muzik video mohon maaf tuduhan ciplak, akui kesilapan.
Georgie Joseph


ANNYEONGHASEYO! Penghasilan muzik video artis di Korea Selatan sentiasa tidak mengecewakan.

Idea serta konsep yang ditampil sentiasa segar selain terbukti kreativiti penggiat seni di sana sangat bermutu.

Bagaimanapun, nasib kumpulan baharu, STAYC berbeza apabila muzik video lagu pengenalan mereka berjudul So Bad menjadi bahan kecaman.

Video dihasilkan syarikat produksi Rigend Film itu didapati meniru muzik video lagu Midnight Sky nyanyian Miley Cyrus.

Disebabkan memiliki persamaan secara kebetulan, perkara itu mencetus kontroversi selepas ramai warganet tidak berpuas-hati.

Pihak syarikat terbabit akhirnya tampil dengan permohonan maaf rasmi untuk menjelaskan kekeliruan itu.

"Rigend Filem bertanggungjawab mengendalikan keseluruhan muzik video itu termasuk aspek pelan, produksi, seni dan lain-lain. Berdasarkan hasilnya, kami sangat malu dan tidak dapat menyembunyikan rasa sedih terhadap tuduhan menciplak itu.

"Kami tiada niat langsung untuk menegakkan apa-apa berhubung babak yang dipersoalkan itu sebaliknya anggap kekeliruan terbabit sebagai penghormatan. Untuk keseluruhan prop, kami gunakan bahan diminta pengarah sewaktu fasa membuat pelan," kata produksi itu.

Bagaimanapun, mereka menjelaskan persamaan itu langsung tidak disengajakan apatah lagi mahu meniru muzik video Cyrus.

Babak yang dihasilkan dibuat mengikut pelan asal seperti ditetapkan di set penggambaran.

"Kebanyakan prop digunakan adalah bahan yang Rigend Film sudah kerap gunakan dalam pelbagai cara menerbitkan muzik video. Namun, kami mendapati dan bersetuju kombinasi prop seni serta babak yang dihasilkan menimbulkan kontroversi.

"Kami sudah memohon maaf secara peribadi kepada semua pihak yang terkesan dengan kontroversi ini termasuk High Up Entertainment, STAYC, dan kakitangan terbabit. Mohon maaf juga kepada peminat serta orang awam atas kecuaian ini," katanya.

Semestinya ia memberi kesan kepada banyak pihak, kecuaian terbabit sepatutnya tidak berlaku terutama untuk artis baharu.

Oleh yang demikian, syarikat terbabit berjanji untuk tidak mengambil lewa projek sebegini pada masa hadapan.

"Selepas ini, kami akan menjadi syarikat produksi yang bekerja lebih keras. Kami mahu menghasilkan kandungan video yang lebih kreatif dan menyeronokkan kepada peminat serta orang ramai," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 6:11 AM