KRU Studios reka ilusi moden untuk filem Nosferatu. FOTO HM Digital/IG
KRU Studios reka ilusi moden untuk filem Nosferatu. FOTO HM Digital/IG
Georgie Joseph


KRU Studios mengesahkan diberi tanggungjawab oleh American Film Market (AFM) bagi menghasilkan kesan visual untuk sebuah filem seram dari Amerika Syarikat (AS) berjudul Nosferatu.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim berkata filem berkenaan adalah versi campuran kepada filem klasik, Nosferatu: A Symphony of Horror arahan FW Murnau yang dikeluarkan pada tahun 1922.

“Kami menerima rakaman asal filem berkenaan dan kini dalam proses untuk meniru pelbagai latar belakangnya menggunakan teknik janaan imej komputer (CGI). Kami juga diberikan rakaman terbaru aksi pelakonnya di depan skrin hijau.

“Kami bakal menambah latar belakang serta set digital lain untuk memberi kesan lebih hebat kepada filem itu. Kesan itu nanti akan menyamai hasil kerja produksi Hollywood seperti yang dibuat untuk filem 300 dan Sin City,” katanya.

Menurut Norman, tugas utama KRU Studios adalah mereka ilusi moden untuk filem berkenaan yang asalnya tiada bunyi, dialog dan muzik.

“Kami akan mereka kembali babak demi babak filem klasik seram itu yang kali ini menggunakan dialog bahasa Inggeris.

“90 peratus kesan CGI untuk latar belakang filem itu kami buat dengan menggunakan kemudahan kami di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil. Pembikinan itu sudah dibuat sejak September lalu dan dijangka akan siap pada Januari tahun depan,” katanya.

Tambah Norman, anak syarikatnya iaitu United Studios juga turut diberikan kepercayaan sebagai ejen pemasaran filem itu kelak.

“Kami juga akan mengendalikan penjualan Nosferatu di pasaran global. Selalunya, ejen dari AS sendiri yang akan mengendalikannya namun tidak kali ini.

“Saya percaya ini disebabkan reputasi yang sudah dibina selepas berjaya menjual filem kami iaitu Ribbit dan Wheely di pasaran antarabangsa,” katanya.

Filem arahan David Lee Fisher itu diterbitkan BeamScreen Productions dan Artistry Media Group. Nosferatu dibintangi aktor Hollywood, Doug Jones yang memegang watak Count Orlok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 6:57 PM