FORMASI awal Dewa 19 terdiri daripada ( dari kiri) Ahmad Dhani, Andra, Ari Lasso, Erwin dan Wawan.
FORMASI awal Dewa 19 terdiri daripada ( dari kiri) Ahmad Dhani, Andra, Ari Lasso, Erwin dan Wawan.
Riadz Radzi


"KALAU tidak kerana Slank, Dewa 19 mungkin tidak memiliki album".

Itu kata pemuzik legenda Indonesia, Ahmad Dhani yang juga pemain keyboard, penyanyi serta pengasas band rock popular, Dewa 19.

Ahmad Dhani berkata, kejayaan Slank yang juga band rock nombor satu Indonesia pada 1990-an mendorong Dewa 19 memasuki studio rakaman untuk album sulung mereka pada 1992.

Selain Ahmad Dhani, Dewa ketika itu dianggotai Ari Lasso (penyanyi), Andra Ramadhan (gitar), Erwin Prasetya (bass) dan Wawan (dram).

Slank ketika itu baru tampil dengan dua album iaitu Suit...Suit...He...He... (Gadis Sexy) pada 1990 dan Kampungan (1991).

Mereka yang dianggotai Kaka (penyanyi), BimBim (dram), Pay (gitar), Bongky (bass) dan Indra Qadarsih (keyboard) ketika itu sudah mula menakluk generasi muda Indonesia dengan muzik rock & roll segar dan lirik rakyat.

Ahmad Dhani berkata, mereka memilih muzik pop rock kerana banyak terpengaruh dengan Slank dan Kla Project.

SLANK kini dianggotai (dari kiri) Ridho, Bim Bim, Kaka, Ivanka dan Abdee.
SLANK kini dianggotai (dari kiri) Ridho, Bim Bim, Kaka, Ivanka dan Abdee.

"Pada mulanya saya, Andra dan Erwin membentuk band bermain muzik fusion dan jazz. Disebabkan Slank dan Kla Project, kami bertukar kepada pop rock," katanya ketika menceritakan pengalaman awal mereka membentuk Dewa 19 di saluran YouTube Rian D'Masiv.

"Ya, ketika itu mereka sudah ada album dan berjaya. Slank pada 1990-an sangat berjaya. Jadi, ketika itu kami pun mahu merakam album seperti mereka. Kami tidak bermain di kafe atau di mana-mana, tapi kami rakam album," katanya.

Ahmad Dhani berkata, dia tidak tahu bagaimana nasib Dewa 19 jika tidak mengikuti jejak Slank untuk merakamkan album.

DEWA 19 rakam album kerana Slank.
DEWA 19 rakam album kerana Slank.

"Kalau Slank tak ada, belum tentu kami mahu cepat-cepat merakam album," katanya.

Walaupun sudah dibubarkan pada 2011, Dewa 19 masih wujud dan pernah mengadakan konsert di Shah Alam pada 2 Februari tahun lalu bersama penyanyi asalnya, Ari Lasso.

Ketika ditanya wartawan Malaysia pada 2018 mengenai Dewa 19, Ahmad Dhani berkata, "Dewa 19 sedang tidur".

Formasi terakhir Dewa 19 pada 2011 ialah Ahmad Dhani (keyboard, penyanyi), Andra Ramadhan (gitar), Once (penyanyi), Yuke (bass) dan Agung Yudha (dram).

Mereka mempunyai lapan album studio dan Republik Cinta adalah album terakhir mereka pada 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 6:18 AM