ARI Lasso berdepan kesukaran ketika merakam album sulung Dewa 19.
ARI Lasso berdepan kesukaran ketika merakam album sulung Dewa 19.
Susunan Riadz Radzi

'STRESS' dan kelakar. Ini antara pengalaman dikongsi penyanyi popular Indonesia, Ari Lasso ketika pertama kali merakamkan album Dewa 19 pada awal 1990-an lalu.

Ari menerusi saluran YouTube Legend milik Ahmad Dhani berkata, ketika itu dia tidak ada pengalaman merakam album dan belum mahir mengenai teknik vokal dan sebagainya.

Selain Ari selaku penyanyi, Dewa 19 ketika itu dianggotai Ahmad Dhani (keyboard), Andra Ramdhan (gitar), Erwin Prasetya (bass) dan Wawan (dram).

Album sulung yang menggunakan judul Dewa 19 itu dirakam di Studio 15, Jakarta.

"Saya belum mahir dengan teknik rakaman. Ketika rakaman, orang paling sukar dan tertekan ialah saya dan Wawan. Kami agak ketinggalan ketika itu," katanya.

Ari berkata, lagu Kangen adalah paling sukar kerana perlu merakam vokal sebanyak tiga kali.

"Terpaksa buat tiga 'take' hingga saya jadi tertekan. Saya ada masalah tempo kerana tidak biasa menggunakan klik. Memang susah sangat.

"Apabila siap, vokal saya dikatakan lemah dan tak sedap. Jadi kena rakam semula," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Dhani berkata, kesulitan itu bukan saja dirasai Ari, tetapi semuanya. Apatah lagi, mereka dituntut untuk menghasilkan lagu yang sedap didengar.

"Kami semua merasai ia memang sukar. Erwin pula tidak boleh bermain lagu Kangen kerana masih kurang pengalaman. Ketika itu dia baru berusia 19 tahun," katanya.

Selain itu, Ari juga mengenang insiden lucu ketika mereka menginap di Hotel Roxy Royal di Jakarta ketika menjalani rakaman album itu.

DEWA 19 ketika dibarisi (dari kiri) Ahmad Dhani, Andra, Ari Lasso, Erwin dan Wawan.
DEWA 19 ketika dibarisi (dari kiri) Ahmad Dhani, Andra, Ari Lasso, Erwin dan Wawan.

"Wawan yang dapatkan hotel itu dan harganya cukup murah. Hanya RM3.50 semalam! Kami terus tempah untuk lima hari.

"Hotel itu agak selesa. Namun kami terkejut kerana pada sebelah malam hotel itu berubah menjadi pasar, pada sebelah siang tidak ada!

"Di dalam bilik pula hanya ada satu selimut dan bilik air pula di luar bilik," katanya.

Akhirnya kerana berasa tidak selesa, mereka kemudian pergi ke Bogor dan menumpang di rumah rakan mereka.

Bagaimanapun, kesulitan ini terbalas apabila album Dewa 19 meledak di pasaran. Team Records yang memasarkan album itu terpaksa meminta syarikat rakaman lebih besar, Aquarius Musikindo mengambil alih kerana sambutan yang cukup luar biasa.

Lagu Kangen dan Kita Tidak Sedang Bercinta Lagi menjadi popular di seluruh Indonesia.

Menerusi album ini, Dewa 19 turut memperoleh dua anugerah di Anugerah BASF 1993 iaitu Pendatang Baru Terbaik dan Album Terlaris 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 6:35 AM