FOTO IG Farah Ahmad
FOTO IG Farah Ahmad
Ridzuan Abdul Rahman

"SEBELUM ini kalau seseorang ada masalah, sesiapa pun akan nasihatkan dia supaya sabar, 'move on' terima suratan takdir dan sebagainya. 

"Apabila kena pada diri sendiri, apa yang selalu dan biasa kita cakap, kenalah dibuktikan. Jangan nanti orang kata cakap tak serupa bikin," kata pelakon Farah Ahmad.

Farah adalah balu pengarah Allahyarham Pitt Hanif yang hari ini genap 265 hari meninggal dunia akibat lemas di Sungai Jelai, Kuala Lipis, Pahang pada 26 Oktober tahun lalu.

Berkongsi kekuatannya berdepan dugaan besar itu, Farah, 42, berkata sebelum orang menasihatinya supaya bersabar, dia perlu buktikan keteguhan hatinya.

"Apa sahaja orang cakap, keputusannya pada hati kita. Kalau beribu orang bercakap, tapi kita sendiri tak menasihati diri, ia takkan  jadi apa.

"Saya memang dah bersedia awal-awal. Apabila dapat tahu berita arwah Pitt hilang, saya cakap dengan diri sendiri kena kuat dan tegas.

"Sekarang suami saya dah tiada dan kalau menangis sekalipun, tak dapat buat apa-apa lagi. Nak tak nak, kena terima hakikat dan kena kuat," katanya kepada Harian Metro. 

Terdahulu, Farah bersama anaknya, Mhia Farhana ditemui ketika promosi filem Roh lakonan mereka di Balai Berita, Bangsar.

Menurut Farah, dia perlu menguatkan diri sendiri sebelum kata-kata semangat diberikan kepada anak-anaknya supaya sabar dengan ketentuan takdir.

"Dah tentu saya sedih. Kalau orang kata saya tak sedih dan tak menangis, memang tipulah. Tapi tak perlulah saya nak menangis depan orang. 

"Saya tak nak bazirkan airmata depan orang kerana tak bernilai. Ia akan mengundang aura negatif. Saya nak beri aura positif kepada orang, biarpun sedikit.

"Begitu juga anak-anak. Orang nampak mereka gembira. Kalau tanya saya, saya pun tak tahu bila mereka menangis," katanya. 

Dalam pada itu, Farah memberitahu, dia dan keluarganya sejak dulu tidak pernah menagih simpati orang untuk memberikannya rezeki dan lebih suka mencari sendiri.

"Saya jenis segan nak tanya kalau ada peluang berlakon. Jika mereka menilai bakat dan kualiti saya, adalah tawaran. Kalau Tuhan tak bagi pun, adalah sebabnya. Mungkin juga benda itu tak sesuai dengan saya.

"Saya selesa fikirkan kelemahan diri, atau mungkin Tuhan nak bagi kita rezeki lain dan positif sahaja lebih baik," katanya. 

Menurutnya, bukan dia tidak mengharapkan tawaran berlakon, tetapi ada banyak lagi cabang lain untuk mencari rezeki.

"Dalam keluarga, walaupun Pitt memang terbabit dengan kerja produksi, tapi saya bahkan mama (Fauziah Nawi) tak pernah nak bergantung kepada satu sama lain.

"Kami memang bergerak sendiri secara profesional. Anak kami, Mhia pun tak bergantung kepada saya untuk dapat tawaran berlakon.

"Mhia usaha sendiri dan bakat lakonannya pengarah yang nampak kerana dia (Mhia) adalah penari untuk Permata Seni," katanya.

Ujar Farah, orang memang nampak Mhia ada bakat dan bukan kerana neneknya serta siapa ibu bapanya.

Sehubungan itu, Farah kini mengusahakan jualan dulang dan coaster hasil sentuhan ideanya sendiri untuk mendapatkan sumber kewangan menyara keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 9:38 PM