ARTIS perlu tepati masa atau janji bukan beri alasan kurang cerdik.
ARTIS perlu tepati masa atau janji bukan beri alasan kurang cerdik.

Bukan main marah teman Cik Pang dengan seorang pelakon jelita ini yang disifatkan tidak hormat sesi temu janji fotografi eksklusif bersamanya.

Kalau sudah untuk fotografi muka depan, teman Cik Pang akan buat persiapan seperti tempah mekap artis, baju daripada pereka fesyen serta lokasi di hotel lima bintang selain lokasi yang selalu di studio.

Tapi apabila berurusan dengan pelakon Risteena Munim, macam-macam masalah yang teman Cik Pang lalui. Pada awalnya, teman Cik Pang ingin gandingkan dia dengan adiknya Ruhainies, tetapi kerana kesibukan waktu dan mencari masa sesuai untuk mereka berdua, hanya dapat dia seorang.

Risteena bersetuju untuk menjalani sesi fotografi pada tarikh yang ditetapkannya sendiri. Teman Cik Pang juga berjaya mendapatkan tajaan hotel mewah, jurusolek profesional dan busana yang cukup anggun.

Malangnya beberapa hari sebelum sesi fotografi, dia mula tunjuk perangai tak berapa ‘cantik’.

Pertama minta tukar waktu sebab ada urusan lain yang perlu dijelaskan. Kemudian dia beritahu akan tiba ke lokasi fotografi siap bersolek dan berbusana.

Nak tak nak, teman Cik Pang terpaksa tebalkan muka memberitahu penaja solekan dan busana yang perkhidmatan mereka terpaksa dibatalkan.

Pada hari dijanjikan, dia sekali lagi beritahu perlu tukar waktu lain atas alasan pihak produksi terpaksa melepaskannya dari set agak lewat.

Tunggu punya tunggu, akhirnya selepas hampir empat jam barulah dia muncul. Itu pun dia bagi alasan tidak boleh lama sebab ada sesi fotografi dengan pihak lain pula.

Mungkin sebab sudah tidak tahan menunggu lama dan pelbagai alasan diberi, teman Cik Pang sempat ‘basuh’ pelakon ini agar lebih menghormati masa orang lain.

Pesan Cik Pang kepada artis, jika ada sesi fotografi dan masa sama sibuk dengan penggambaran drama atau filem, tolonglah susun jadual betul-betul.

Jangan disebabkan nak puaskan hati semua pihak, akhirnya ada masa yang sangat bernilai terpaksa dibuang begitu saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:04 AM