KESAN mengerikan dihasilkan menggunakan bahan prostetik.
KESAN mengerikan dihasilkan menggunakan bahan prostetik.
Siti Zarinah Sahib

Walaupun solekan berperanan mencantikkan pelakon dalam drama dan layar perak, solekan juga mampu membuatkan penampilan aktres menakutkan atau menggerunkan. Imej mengerikan ini dihasilkan dengan teknik kesan khas menerusi teknologi pengkomputeran mahupun solekan.

Bagi menampilkan wajah diinginkan pelbagai peralatan kosmetik dan bahan prostetik daripada getah dan silikon digunakan untuk menampakkan tubuh kelihatan lebam, luka parah, berusia atau cacat.

Dalam erti kata lain, peranan jurusolek kesan khas ini jauh berbeza dengan mekap artis biasa kerana mereka perlu menghabiskan banyak masa melukis wajah atau tubuh pelakon agar kesan diinginkan tampak seperti semula jadi.

Malah dalam sesetengah keadaan mereka perlu memiliki kemahiran melebihi jurusolek profesional kerana penggunaan bahan unik dan kreatif diperlukan bagi menghasilkan prostetik agar kelihatan realistik yang menjadi matlamat bagi semua jurusolek kesan khas.

Jurusolek Neb Radzif, 28, yang mempunyai kepakaran dalam solekan kesan khas atau SFX mengakui kepakaran jurusolek amat diperlukan untuk menghasilkan solekan kesan khasbiasa digunakan dalam industri perfileman seperti watak fantasi dan realistik.

Namun pada masa kini, aplikasi solekan SFX semakin meluas dan dipraktikkan dalam pelbagai bidang termasuk dalam kalangan pelaku permainan kostum (cosplayer).

Katanya lagi, SFX terbahagi dalam banyak kategori tetapi yang biasa digunakan dalam kalangan jurusolek adalah cecair getah dan tisu itampal pada muka pelakon bagi membentuk sesuatu misalnya kesan luka parah atau wajah kedut orang tua.

“Keadaan ini berbeza dengan jurusolek luar negara apabila mereka menterjemahkannya menggunakan kaedah prostetik iaitu teknik membuat kulit palsu dengan acuan berdasarkan wajah pelakon sebelum penggambaran bermula. Objek kulit wajah palsu ini akan ditampal pada muka pelakon agar karakter nampak lebih semula jadi berbanding mekap biasa,” katanya.

CABARAN dalam memastikan solekan nampak semula jadi.
CABARAN dalam memastikan solekan nampak semula jadi.

Menceritakan lebih lanjut, ujar Neb dia mula terbabit dalam lukisan wajah secara tidak sengaja atas ajakan seorang rakan. Sebelum itu, dia lebih memberi tumpuan terhadap seni visual dan ilustrasi.

“Saya tertarik dengan lukisan wajah sejurus selepas mencuba buat kali pertama dalam satu acara. Kepuasan yang saya peroleh sukar digambarkan kerana dapat mengaplikasikan apa yang saya minat bukan di atas kanvas kertas sebaliknya kanvas unik dan hidup. Saya mula belajar lebih mendalam menerusi laman sesawang dan YouTube seterusnya mempraktikkan teknik ini sehingga tahu akan kewujudan solekan SFX,” ujarnya.

Jenis solekan

Secara umumnya solekan biasa untuk mencantikkan pelakon atau model supaya mereka kelihatan cantik dan menarik, berbeza dengan SFX kerana digunakan bagi tujuan sebaliknya. Solekan ini berfungsi untuk menghasilkan kesan mutasi daripada segi struktur muka atau badan subjek manakala teknik dan kemahiran diperlukan juga berbeza-beza.

ANTARA solekan kesan khas dihasilkan Neb.
ANTARA solekan kesan khas dihasilkan Neb.

“Pemilihan teknik bergantung kepada tujuan solekan. Sesetengahnya boleh diperoleh menggunakan bahan di rumah seperti makanan dan cecair getah mengikut kreativiti dan eksperimentasi masing-masing.

“Tetapi ia hanya sesuai untuk tujuan tertentu dan digunakan dalam jangka pendek serta pemakaian kostum. Untuk tujuan perfileman dan lebih profesional, bahan gred lebih tinggi seperti silikon, busa cecair getah diperlukan bagi menghasilkan kesan lebih halus, realistik dan tahan lama,” katanya.

Solekan SFX pula terbahagi kepada dua iaitu mekanikal dan optikal. Solekan mekanikal bermaksud solekan dihasilkan serta-merta menggunakan mekap dan prostetik. Sebagai contoh kesan penuaan wajah dan luka terbakar atau kemalangan.

Solekan optikal pula ialah solekan yang diiringi teknologi seperti teknik janaan imej komputer (CGI) dan manipulasi foto seperti tangan putus, perut terburai atau kepala pecah.

Menurut Neb, cabaran utama dalam menghasilkan solekan SFX adalah untuk menjadikan ia realistik sehingga dapat membuatkan pemerhati percaya ia benar-benar berlaku dan bukannya solekan.

“Di sinilah letaknya kebolehan jurusolek agar lukisan tampil semula jadi. Hanya penonton yang dapat menilai dan merasainya apabila melihat menerusi drama atau filem,” katanya yang cenderung dengan solekan berkarakter dan juga SFX berbanding biasa.

ANTARA solekan kesan khas dihasilkan Neb.
ANTARA solekan kesan khas dihasilkan Neb.

Namun begitu wanita ini cuba menggabungkan semua elemen ini dalam kerja solekan bergantung kepada projek yang diberi. Dalam beberapa tahun ini, Neb mengakui dia mempelajari kemahiran menerusi Internet dan bertanya kepada jurusolek berpengalaman untuk mendapatkan panduan dan bimbingan.

“Bagi saya, sangat penting untuk terus belajar dan bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman. Setakat ini, alhamdulillah saya dan kumpulan saya Fx.Cat diberi peluang untuk bekerja dengan produksi dalam dan luar negara bagi tujuan promosi dan acara antarabangsa.

“Kami pernah terbabit dalam penghasilan video promosi filem dan siri televisyen seperti The Walking Dead oleh FOX, Pirates of the Caribbean dan Star Wars oleh Disney, persembahan pentas seperti Akim & The Majistret dalam Anugerah Juara Lagu, Dayang Nurfaizah dalam Anugerah Meletop, juga Malam Gala Asean yang dihadiri pemimpin negara serantau,” katanya.

ANTARA solekan kesan khas dihasilkan Neb pada wajah yang sama.
ANTARA solekan kesan khas dihasilkan Neb pada wajah yang sama.

Di samping itu Neb dan tenaga kerjaya sangat menghargai peluang yang pernah diberi untuk muncul dalam beberapa rancangan televisyen dan media cetak dalam dan luar negara, seperti Vogue India, Meja Bulat Sepahtu dan Meletop.

Walaupun kini banyak memberi tumpuan kepada solekan SFX, dia turut mengambil tempahan untuk solekan biasa seperti perkahwinan atau kasual serta aktif dalam menawarkan perkhidmatan melukis wajah untuk apa juga acara.

“Pada saya solekan biasa adalah untuk mengekalkan kemahiran dalam memilih warna bagi mencantikkan figura manakala SFX pula memberikan saya lebih kepuasan untuk mendapatkan hasil yang diinginkan bersesuaian watak diberi. Namun kedua-duanya ada cabaran tersendiri yang seharusnya diambil bagi memperbaiki diri menjadi seorang jurusolek yang lebih versatil dan berbakat,” ujar Neb yang baru menimang cahaya mata baru-baru ini.

 NEB melakukan lukisan wajah dalam acara membabitkan kanak-kanak.
NEB melakukan lukisan wajah dalam acara membabitkan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 2:23 PM