Intan Mas Ayu Shahimi


RENUNGAN tajam Medusa membuatkan penulis jadi gerun. Sekilas pandang, wanita hodoh berambut

ular ini memang menakutkan.

Tambah meremang bulu roma melihat ular kecil berjuntaian keluar dari celah ‘rambut’. Begitu hidupnya watak dihasilkan jurumekap artis, Raja Norbaizura Raja Abdullah.

Dalam dunia solekan, membentuk wajah hodoh, jahat, jelik, rupawan, seram atau menakutkan sebagaimana imaginasi bukanlah semudah menepek bedak pada wajah pengantin di depan cermin.

Salah percaturan, rupa diingini hanya muncul dalam bayangan. Kedut tidak kelihatan, parut tampak dibuat-buat, benjol, sisik, tanduk, apa saja perincian, semuanya terpesong daripada kehendak dan angan-angan.

Ironinya, wajah buruk yang dihasilkan dengan solekan kesan khas atau SFX tampak cantik dan lebih menarik andai hasilnya benar-benar menjadi.

Kata Raja Norbaizura, dia banyak belajar daripada video tutorial dikongsikan juru mekap SFX popular luar negara, Ellinor Rosander yang belajar teknik solekan itu sendiri dan Macs Moser, Ellimacs Sfx Makeup di laman YouTube.

“Watak Medusa ini hasil inspirasi daripada Ellimacs. Bahkan perhiasan kepala juga dibuat mengikut tutorial yang disediakan.

“Antara barang diperlukan untuk menghidupkan watak ini adalah tangkai belon, span, penyangkut langsir, aksesori perkahwinan,

ular mainan dan semburan cat. Selebihnya, saya cuba cabar kreativiti diri kerana minat.

“Kebetulan dulu saya menyambung pengajian dalam bidang seni teater dan sudah terbiasa dengan gaya solekan pentas. Jadi, mekap SFX tidaklah terlalu asing,” katanya.

Meneliti hasil karya Raja Norbaizura ketika mengambil bahagian dalam pertunjukan solekan SFX di Beauty Expo baru-baru ini, penulis memang kagum.

Inilah kali pertama penulis melihat sendiri bahan prostetik daripada getah dan silikon dibentuk pada muka untuk mendapatkan bentuk wajah berbeza.

Sebelum ini, penulis hanya menyaksikan pelbagai video tular di laman media sosial. Kebanyakan video mendedahkan wajah sebenar wanita yang disolek cantik, persis model dan selebriti.

CORPSE Bride gamit perhatian.
CORPSE Bride gamit perhatian.

Selain watak Medusa oleh Raja Norbaizura, penulis juga tertarik pada hasil seni melukis wajah jurumekap berbakat, Norharliza Mohd Johar.

Menghidupkan

watak utama filem Corpse Bride, graduan juruukur bahan ini mengakui dia banyak manata rias pengantin berbanding mempraktikkan ilmu solekan SFX yang pernah dipelajari sekitar 2017 hingga 2018.

“Solekan SFX adalah bidang unik. Tidak kira seberapa ramai jurusolek mahir menghidupkan industri mekap hari ini, namun tidak ramai yang berkebolehan dalam

solekan SFX.

“Saya sendiri belajar untuk mendapatkan sijil kemahiran seni solekan. Paling penting adalah minat. Ini kerana bidang solekan SFX dan lukisan wajah memerlukan kesabaran tinggi,” katanya.

SFX UNTUK FILEM, DRAMA

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Jurusolek Artis Bumiputera Malaysia (MBMUAA), Rosnawati Salleh berkata, dalam dunia kecantikan hari ini, solekan SFX banyak digunakan untuk menghidupkan watak dalam filem atau drama.

“Di Malaysia belum ramai yang ada kemahiran dalam solekan SFX. Kalau ada sekalipun, mereka tiada ruang berkongsi ilmu dan kebolehan masing-masing.

“Sebab itulah kami selalu beri pendedahan kepada ahli untuk menguasai pelbagai cabang seni solekan. Kami mahu setiap jurusolek bukan saja pandai mekap pengantin, tetapi boleh menghasilkan solekan SFX, melukis wajah dan kreatif menghidupkan solekan futuristik,” katanya.

Katanya, peranan jurusolek kesan khas kini jauh berbeza dengan mekap artis biasa kerana perlu menghabiskan banyak masa melukis wajah atau tubuh pelakon agar kesan diinginkan tampak semula jadi.

“Malah dalam sesetengah keadaan mereka perlu memiliki kemahiran melebihi jurusolek profesional kerana penggunaan bahan unik dan kreatif diperlukan bagi menghasilkan prostetik agar kelihatan realistik yang menjadi matlamat bagi semua jurusolek kesan khas.

“Penggunaan bahan dan teknik bergantung kepada tujuan solekan. Boleh jadi ia hanya memerlukan barang asas di rumah atau perlu dibeli mengikut imaginasi dan idea untuk menghidupkan watak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 6:00 AM
RAJA Norbaizura (duduk empat dari kiri) dan Rosnawati (berdiri enam dari kiri) bersama sebahagian ahli MBMUAA yang mengambil bahagian dalam pertunjukan.
RAJA Norbaizura (duduk empat dari kiri) dan Rosnawati (berdiri enam dari kiri) bersama sebahagian ahli MBMUAA yang mengambil bahagian dalam pertunjukan.