FAIZAL Tahir
FAIZAL Tahir
Najiy Jefri

MESKIPUN suasana Ramadan tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya, namun ia tidak menghalang umat Islam untuk menyambutnya secara sederhana dan penuh bermakna.

Seiring dengan kempen Setulus Ikhlas yang dilancarkan pada 19 April lalu, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) sudah memulakan beberapa inisiatif amal dan program istimewa untuk membantu mereka terkesan dengan pandemik Covid-19.

Antara program istimewa sepanjang Ramadan di TV3 ialah HeroKu, Dari Dapur Saya Ke Dapur Anda, Saranghae Ramadan dan Ratu Cantik Dapur selain program Juadah Setulus Ikhlas bagi membantu peniaga kecil-kecilan.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Michael Chan, biarpun pandemik Covid-19 menyerang negara secara tiba-tiba, namun diharapkan seluruh rakyat dapat menempuh normal baharu ini dengan tenang.

"Keadaan yang kita hadapi sekarang tidak berlaku seperti yang dirancang. Rutin harian atau gaya hidup kita sememangnya bertukar 360 darjah.

"Begitu juga dengan kelangsungan kempen Setulus Ikhlas anjuran MPTN yang perlu diubah suai mengikut keadaan. Oleh itu, pihak kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan penaja dan juga selebriti yang sudi bekerjasama.

"Diharapkan kita semua berganding bahu dalam menghadapi pelbagai cabaran sepanjang tempoh PKP ini," katanya.

Tambah Michael, MPTN turut bekerjasama dengan penyanyi popular Faizal Tahir dan Faithmen atau lebih dikenali dengan gelaran #iamfaithmen untuk kerja-kerja amal.

"MPTN bekerjasama dengan Faizal dan Faithmen yang mana menerima pengiktirafan sebagai Anugerah Sukarela Terbaik oleh Jabatan Perdana Menteri untuk inisiatif amal.

"Kali ini kami bersama dalam menghulurkan bantuan segera kepada keluarga daif dan golongan kurang berupaya dalam tempoh PKP ini. Selain memberi barangan dapur kepada orang tua yang menghuni di Mesra Homes, tindakan membeli serunding dan kuih tat nanas yang dihasilkan penghuni menjadi lebih bermakna apabila usaha mereka untuk mencari rezeki sendiri dihargai.

"Selain itu golongan gelandangan di Anjung Singgah juga dapat menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan mereka. Sebagai tanda sokongan kepada golongan kurang upaya, pasukan ini membeli roti daripada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (Malaysian Deaf Federation, MDF) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan serta membekalkan kelengkapan dandanan diri kepada golongan ini.

"Faizal Tahir dan Faithmen turut membantu ibu-ibu Chow Kit dengan membelikan barangan dapur buat mereka menyediakan juadah berbuka puasa untuk 200 orang. Sebanyak 60 keluarga di Buku Jalanan Chow Kit juga diberikan barangan keperluan asas untuk menampung kehidupan mereka," katanya.

Sementara itu, empat program khas yang kini menemui penonton mempunyai keunikan dan kandungan menarik untuk ditonton seisi keluarga.

Program Dari Dapur Saya Ke Dapur Anda sudah menemui penonton sejak 29 April lalu pada setiap hari Rabu, jam 6 petang selama empat episod, manakala Saranghae Ramadan Eid akan bersiaran pada hari Rabu, jam 6.30 petang.

Bagi program Ratu Cantik Dapur, ia menghimpunkan video memasak oleh selebriti popular seperti Jasmine Suraya, Dayana Roza, Atita Haris, Sharifah Shahirah, Ezzaty Abdullah, Eira Syazira, Julia Farhana dan Indah Ruhaila.

Seterusnya, program khas terakhir adalah HeroKu yang sudah menemui penonton pada 30 April lalu. Program yang dihoskan Fariha Onn itu mempunyai empat episod dan bersiaran setiap Khamis, pukul 6.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 6:15 AM