FIZA Sabjahan (dua kiri) melihat hasil lukisan kanak-kanak palsi serebrum.
FIZA Sabjahan (dua kiri) melihat hasil lukisan kanak-kanak palsi serebrum.
KANAK-kanak palsi serebrum bersama duta Skuad Terima Kasih dan artis.
KANAK-kanak palsi serebrum bersama duta Skuad Terima Kasih dan artis.
AYDA Jebat menunjukkan lukisan dihasilkan oleh kanak-kanak palsi serebrum.
AYDA Jebat menunjukkan lukisan dihasilkan oleh kanak-kanak palsi serebrum.
Michelle Gun


Sempena Ramadan dan Aidilfitri, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN) memperkenalkan kempen Terima Kasih bagi mengukuhkan pengisian program pada musim perayaan ini.

Di samping memperkenalkan program televisyen menarik dan berkualiti, MPTN menerusi kempen ini menganjurkan aktiviti di bazar, masjid dan program khidmat masyarakat, Skuad Terima Kasih.

Kelmarin, Skuad Terima Kasih meneruskan misi membantu golongan memerlukan dengan mengadakan Jualan Amal Lukisan Kanak-Kanak Palsi Serebrum di pusat beli-belah di KLCC.

Jualan amal itu dijayakan bersama Pertubuhan Spinal Muscular Athropy (SMA) yang membantu dalam acara lelongan 10 lukisan istimewa yang dihasilkan sendiri anak palsi serebrum.

Beberapa karya itu turut dibeli Kumpulan Suria KLCC dan jenama sabun perlindungan kuman nombor satu di dunia, Lifebuoy.

Acara diserikan lagi dengan kehadiran duta Skuad Terima Kasih, Fiza Sabjahan, Uyaina Arshad, Ayda Jebat, Mira Filzah, Redza Rosli, Faizal Tahir, Aizat Amdan, Ustaz Fakhrul Radhi, Zainal Arifin dan Ally Iskandar.

Terdahulu, pengunjung KLCC dihiburkan dengan lagu Assalamualaikum oleh Faizal diikuti persembahan duet bersama Aizat menerusi lagu tema kempen, Terima Kasih.

Selesai aktiviti lelongan, acara diteruskan dengan Fiza dan Aizat yang menunjukkan kehebatan masing-masing bermain catur dengan wakil SMA.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPTN Datuk Kamal Khalid berkata, Skuad Terima Kasih dilancarkan pada 1 Jun lalu bertujuan menyebarkan kebaikan secara berantai.

“Ungkapan terima kasih bukan saja boleh dilafazkan, malahan dizahirkan melalui perbuatan sebagai tanda penghargaan.

“MPTN turut menyediakan Tabung Bersamamu di tiga lokasi pusat beli-belah di bawah Kumpulan Suria KLCC iaitu, Alamanda Mall, Mesra Mall serta Suria KLCC.

“Orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh ke pusat beli-belah berkenaan sehingga 4 Julai ini,” katanya.

Menurut Kamal, selain SMA enam lagi pertubuhan turut terbabit dalam menjayakan program Rantaian Kasih dan setiap persatuan mempunyai misi tersendiri.

“Bagi membalas jasa baik anggota Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia membaca buku cerita kepada mereka, 31 Mei lalu, anak palsi serebrum menghasilkan lukisan dengan bantuan Nini Marini.

“Nini pengiat seni kreatif lukisan yang terkenal menghasilkan karya bercorak abstrak dan aktiviti melukis itu berlangsung pada 6 Jun lalu,” katanya.

Pertubuhan lain yang terbabit adalah Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum, Persatuan Pengasih Malaysia, Persatuan Orang Pekak Johor Bharu, Jabatan Penjara Malaysia dan Pertubuhan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM).

Selepas aktiviti melukis anak palsi serebrum, Skuad Terima Kasih pada Sabtu lalu meneruskan program amal dengan membawa beberapa selebriti membeli makanan disediakan Persatuan Pengasih yang kemudian didermakan kepada Masjid Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Sebahagian daripada juadah berkenaan turut dijual oleh Persatuan Orang Pekak Johor Bahru di Bazar Terima Kasih di Angsana Mall.

Sementara itu, pada hari ini, Skuad Terima Kasih akan ke Sungai Petani, Kedah untuk membantu Jabatan Penjara Malaysia menyumbangkan perabot ke masjid terpilih di negeri terbabit.

Seterusnya pada Sabtu ini, PKOKM akan membantu meletakkan barangan serta pembersihan kawasan masjid di Kedah.

Aktiviti Rantaian Kasih berakhir pada 20 Jun ini dengan majlis berbuka puasa bagi menghargai jasa persatuan terbabit sepanjang kempen Skuad Terima Kasih berlangsung.

Maklumat lanjut kempen Terima Kasih boleh diperolehi dari laman rasmi TV3, TV9 dan Tonton atau mengikuti laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta YouTube TV3 Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 2:38 AM