SHARIFAH Husna percaya dengan bakat dimiliki. FOTO Mustaffa Kamal
SHARIFAH Husna percaya dengan bakat dimiliki. FOTO Mustaffa Kamal
Oleh Sudirman Mohd Tahir

HADIR dengan pakej lengkap sebagai pelakon, pendatang baharu, Sharifah Husna tidak mahu menjadikan rupa paras sebagai taruhan semata-mata.

Sebaliknya, wanita berusia 27 tahun kelahiran Subang Jaya, Selangor itu percaya dengan bakat dimiliki mampu membawanya pergi jauh dalam bidang lakonan.

“Pada awal kemunculan, mungkin ada yang melemparkan persepsi penerbit dan pengarah mengambil saya kerana tertarik dengan rupa paras.

“Tetapi, apabila difikirkan semula, sampai bila seseorang pelakon boleh menjual paras rupa? Kalau produser tengok cantik, tetapi berlakon macam kayu, tidak guna juga.

“Jadi, saya percaya bakat terlebih dahulu diutamakan, kecantikan jatuh nombor dua.

“Saya mahu fokus pada mutu lakonan. Saya mahu orang tahu bakat dan kelebihan menyebabkan saya mendapat tawaran, bukan paras rupa,” katanya.

Husna yang mula dikenali menerusi drama Mr Boss Miss Stalker dan Assalamualaikum Cinta berkata, rupa paras dimiliki adalah bonus selebihnya perlukan usaha sekiranya ingin berjaya dalam bidang diceburi.

Disebabkan itu, bagi mempersiapkan diri dalam bidang lakonan Husna mengikuti kelas lakonan yang dibuat beberapa pelakon hebat tanah air. Antaranya, Fauziah Nawi, Amar Asyraf dan Zul Huzaimy.

“Saya tahu semua orang nak tengok pelakon cantik dan kacak di kaca TV atau layar perak. Namun, tiada guna cantik, tetapi lakonan hancur dan menjadi bahan kutukan.

“Saya tidak mahu diadili seperti itu. Jadi, saya perlu menyediakan payung sebelum hujan. Saya tidak mahu menjadi bahan kecaman netizen.

“Saya mengikuti beberapa kelas lakonan bersama pelakon handalan seperti Fauziah Nawi, Amar Ashraf dan Zul Huzaimy. Saya mahu membuktikan minat mendalam dan mampu berlakon dengan baik,” katanya.

Kemunculannya dalam beberapa drama bersiri sebelum ini membuka lebih banyak ruang buatnya menonjolkan bakat dimiliki.

“Tidak menjangka pembabitan saya menerusi program Gadis Panca mendapat maklum balas baik sehingga dinobatkan sebagai juara.

“Saya pernah menjayakan watak pembantu dalam drama Mr Boss Miss Stalker, sebelum menyertai program Gadis Panca.

Bagaimanapun, saya masih belum menghabiskan pengajian dalam jurusan perubatan ketika itu.

“Lebih membuatkan saya terharu ditawarkan membawakan watak utama menerusi drama Kasih Tak Terungkap untuk siaran TV Okey. Seterusnya, rezeki hadir untuk saya tidak putus-putus sehingga hari ini,” katanya.

Melihat perkembangan baik itu membuatkannya lega kerana dapat membuktikan kepada kedua-dua ibu bapa, lakonan boleh dijadikan sebagai kerjaya.

“Ibu bapa tidak merestui pembabitan saya dalam bidang lakonan. Bagi mereka, dunia lakonan sangat kompetitif dan tidak yakin kewangan stabil.

“Bagaimanapun, apabila saya buktikan pada mereka boleh ‘survive’ dalam bidang ini, mereka perlahan-lahan memberikan kepercayaan. Jujurnya, ibu bapa menganggap pekerjaan seperti doktor, peguam dan jurutera adalah kerjaya meyakinkan,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia terpaksa memilih menyambung pengajian dalam bidang perubatan, tetapi minatnya menjurus ke arah dunia lakonan sejak kecil.

“Saya belajar jurusan perubatan kerana memenuhi impian ibu bapa untuk melihat saya menjadi doktor. Bagaimanapun, kerjaya seorang doktor bukan jiwa saya.

“Saya fokus pada lakonan sepenuh masa apabila menamatkan pengajian tahun lalu,” kata bekas graduan Perdana University Royal College Surgeons (Republik Ireland) kampus Serdang.

Husna berkata, dia percaya boleh kembali ke dunia perubatan sekiranya percaturan dalam bidang lakonan kurang menjadi.

“Saya bukannya gila mengejar nama dan populariti. Saya tidak boleh mengetepikan minat sejak sekolah.

“Jadi, apa salahnya saya mencuba nasib dalam bidang lakonan. Mungkin ada yang beranggapan saya membuang masa belajar dalam jurusan sukar seperti perubatan, akhirnya pilih nak jadi pelakon.

“Saya tidak berfikiran seperti itu. Saya boleh meneruskan kerjaya sebagai doktor pada bila-bila masa, asalkan tamat pengajian terlebih dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 6:30 AM