DORIA Rachel Jolly. FOTO Aziah Azmee
DORIA Rachel Jolly. FOTO Aziah Azmee
Amirul Haswendy Ashari


Tujuan asal terjun ke dunia penyiaran mahu bergelar wartawan penyiaran tetapi rezeki Doria Rachel Jolly, 29, nampaknya lebih murah sebagai pelakon.

Selepas kali pertama muncul melalui telefilem Ketika Daun Berzikir tahun lalu, gadis jelita asal Miri, Sarawak ini terus mengikut ke mana sahaja arus hiburan membawanya.

Katanya, bulan lalu genap setahun bergelar pelakon. Dia akui dilatih untuk menjadi wartawan tapi terjebak jadi pelakon selepas ditawarkan watak pembantu oleh Enuja Production ketika berentap dalam program Ikon Siarawan, tahun lalu.

“Daripada telefilem itu, saya disyorkan pula menjayakan drama bersiri selepas ada produser lain yang ‘suka’ pada babak menangis dalam telefilem itu,” katanya.

Doria yang pernah muncul dalam drama Papa Ricky awal tahun ini akui merindui kerjaya wartawan.

Katanya, dia suka bercerita, menulis, membuat penyelidikan dan berjumpa dengan orang, suatu kerjaya yang sangat sinonim dengan dunia kewartawanan.

Pada masa ini, siswazah jurusan Undang-Undang Universiti Heartfordshire di London ini menerima sahaja takdir rezeki yang lebih dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

“Jika saya mahu meneruskan bidang kewartawanan, mungkin pada masa depan yakni dengan menerbitkan program sendiri,” katanya.

Doria juga akui belajar ilmu lakonan dengan melakukannya melalui pemerhatian. Katanya, rakan pelakon sering memberi tunjuk ajar tanpa prejudis biarpun mengetahui dia orang baru dalam industri.

Biarpun baru, Doria bersyukur sebab belum lagi mendapat teguran negatif terhadap lakonannya selama ini.

“Cuma saya akui bidang lakonan masih mencabar sebab tiada asas langsung dalam lakonan. Setiap kali di set, saya ringankan mulut untuk bertanya pada pengarah dan pelakon cara membawa watak.

“Saya menolak dakwaan disebabkan paras rupa saya dilayan baik semua orang. Syukur setakat ini, tiada yang ‘kekwat’!” katanya.

Cakap soal bakat atau rupa, Doria menganggap ia adalah tuah. Ditambah pula hubungan baik yang dibina dengan kru dan pelakon sedari kali pertama melangkah kaki sebagai pelakon.

Telahnya, antara bakat dan rupa pastinya bakat yang wajib ke depan. Andai mempunyai rupa paras menarik tetapi tiada ‘otak’, tidak berguna.

Doria turut menyimpan hasrat untuk mendalami ilmu lakonan dan pernah cuba menghubungi pengarah Michael Ang, malangnya pengarah itu tidak memberi respons.

“Saya belum temui lagi arah untuk mempelajari ilmu lakonan. Saya sedar usaha dilakukan belum cukup meyakinkan tetapi tidak akan berhenti.

“Jujurnya, saya tidak pernah ambil tahu langsung pasal dunia hiburan tempatan. Andai kenal sekalipun, hanya nama-nama besar seperi Maya Karin, Fasha Sandha dan beberapa lagi,” katanya yang meminati Deanna Yusuf.

Doria yang pernah bekerja sebagai pengurus akaun dengan pendapatan tetap dan lumayan, akui pernah dibayar hanya RM200 seminggu pada peringkat awal terjun ke dunia penyiaran.

Pun begitu, dia reda memilih jalan ini kerana suka mencabar diri.

Doria juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil peperiksaan CLP (Sijil Praktis Undang-undang) tahun depan.

“Daripada undang-undang ke lakonan, saya buat apa sahaja yang boleh menggembirakan,” katanya ringkas.

Kata Doria, dia kini sibuk dengan penggambaran drama Syurga Kedua untuk Astro Prima. Selain itu, dia juga menjadi pengacara program Twit Twit untuk saluran digital dalam talian, My Klik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 1:30 AM