SYED Shahrul Shafiq
SYED Shahrul Shafiq
Nor Akmar Samudin

Baru dua tahun berlakon, tetapi Syed Shahrul Shafiq, 23, sudah berani menyahut cabaran menjadi hero drama.

Walaupun menyedari masih banyak perlu dipelajarinya untuk menjadi pelakon yang bagus, tetapi dia berasakan inilah masa terbaik untuk mencabar diri.

Ini kerana untuk menjadi seorang yang bagus dalam segala aspek, dia mesti belajar daripada kritikan, komen penonton dan kesilapan.

Tampil dengan pakej yang hampir sempurna iaitu tinggi lampai, kacak dan berkeyakinan, tetapi Shahrul tahu akhirnya bakat juga yang akan dipandang dan dinilai orang.

Sehubungan itu, Shahrul yang memulakan langkahnya sebagai model dua tahun lalu mengambil inisiatif menimba ilmu dengan pelakon handalan, Fauziah Nawi dan Fauziah Ahmad Daud.

“Saya akan terus belajar kerana tanpa ilmu sukar untuk saya pergi jauh dalam bidang lakonan. Saya tak mahu jadi pelakon ‘mi segera’ yang kehadirannya hanya seketika. Saya mahu kekal lama dan menjadi pelakon serba boleh.

“Paras rupa yang elok bukan satu jaminan kerana saya terpaksa bersaing dengan ramai pelakon lain. Jadi saya perlukan ‘x-factor’ untuk terus berada dalam bidang ini,” katanya.

Shahrul juga tidak hanya menunggu peluang datang sendiri, sebaliknya apabila mendengar ada syarikat produksi mahu mencari pelakon baru, dengan pantas dia pergi ke uji bakat itu.

Menurut Shahrul, uji bakat pertamanya ialah dengan syarikat produksi Zeel Production yang ketika itu sedang mencari bakat baru untuk drama Surat Untuk Abah.

“Selepas itu, saya mencari peluang pula dalam DFKL2017 (Drama Festival Kuala Lumpur 2017). Selepas menimba ilmu dalam DFKL, saya semakin agresif mencari peluang berlakon dan berjumpa dengan ramai penggiat seni .

“Ketika saya pergi uji bakat di Suhan Movies, saya berjumpa Pengurus Produksi iaitu abang Jamal. Sekarang dia membantu saya mendapatkan peluang berlakon dan mendapatkan publisiti dalam media,” katanya.

Menurut Syed, dia suka berlakon kerana dapat menjadi ‘orang lain’ dengan watak berbeza.

Antara drama lakonannya ialah Surat Untuk Abah, Kisah Dari Makkah dan Kelip-Kelip Kota London.

Kini dia sedang menjalani penggambaran filem seram berjudul The Milionaire arahan Sofia J Rhyland di Pahang.

Walaupun masih baru dalam dunia lakonan, tetapi sebagai seorang yang berwawasan dan mahu berjaya, Shahrul tahu cara membina tapak dalam industri iaitu menjaga hubungan baik dengan semua pihak.

“Dari situ, orang akan ingat saya dan jika ada produksi yang sedang mencari pelakon, mereka akan menghubungi saya. Apabila berlakon, kita kena bekerja dengan ramai orang, jadi kita tak boleh sombong atau berlagak.

“Jangan perlekehkan mereka yang bekerja di belakang tabir kerana pengalaman mereka lebih banyak dan pergaulan mereka juga luas,” katanya.

Shahrul yang sedang menyambung pengajian peringkat ijazah dalam jurusan Kejuruteraan dan Sistem Informasi di sebuah universiti tempatan akan terus fokus pada dunia lakonan selepas tamat pengajiannya setahun lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 1:47 AM