EMPAT kumpulan indie terkenal Gerhana Skacinta, The Times, Joanna & Co dan Subculture bergabung dalam Konsert Indie Alliance.
EMPAT kumpulan indie terkenal Gerhana Skacinta, The Times, Joanna & Co dan Subculture bergabung dalam Konsert Indie Alliance.
Ridzuan Abdul Rahman


KEDATANGAN tahun baharu 2023 bakal diserikan dengan konsert menggabungkan empat kumpulan indie popular dinamakan Konsert Indie Alliance.

Mempunyai kumpulan pengikut tersendiri, Gerhana Skacinta (ska), The Times (indie pop n roll), Joanna & Co (sugarcoated pop) dan Subculture (punk rock) bergabung buat kali pertama untuk ditampilkan di pentas berprestij, Zepp Kuala Lumpur.

Gerakan Indie Alliance bermula pada 2020 kerana impak kuat pandemik Covid-19 menyebabkan ramai pemuzik hilang punca pendapatan.

Ia diharapkan dapat mewujudkan sistem sokongan secara lebih meluas dan konsisten yang dapat membantu pemuzik indie bergerak dengan pantas serta mendapat lebih banyak tawaran persembahan pentas.

Berada di bawah pengurusan yang sama memudahkan lagi urusan untuk konsert pertama pembuka tirai 2023 ini.

Kumpulan The Times berkata, sebelum ini sudah banyak band besar beraksi di Zepp Kuala Lumpur. Justeru, sebagai band indie mereka amat bertuah bermain di situ.

"Pengalamannya pasti berbeza berbanding main gig yang masanya terlalu singkat. Peminat akan dapat kepuasan kerana persembahan setiap artis sekitar satu jam.

GERHANA Skacinta lakukan kelainan dari segi gimik untuk Konsert Indie Alliance.
GERHANA Skacinta lakukan kelainan dari segi gimik untuk Konsert Indie Alliance.

"The Times akan mainkan lagu yang jarang dinyanyikan. Sebelum ini kami terbabit dalam konsert Atas Angin. Setiap festival besar pasti ada seperti Tapau Festival.

"Tak dinafikan hari pertama endemik kami dah 'start' beraksi dalam persembahan. Setiap bulan kami aktif 'show' di sana sini," kata ketua kumpulannya, Naza.

Menganggap tarikh 1 Januari sebagai tarikh istimewa, mereka akan mula memperlahankan aktiviti persembahan pada Disember untuk berehat serta fokus untuk praktis konsert terbabit.

"Kita sambut 2023 sambil berhibur. Seperti saya katakan, persembahan untuk gig lagunya agak terhad. Untuk konsert ini persembahan sekitar satu jam dan kami jangka akan bawa 15 lagu," katanya.

SUBCULTURE janji tampil kelainan dari segi muzik dan 'showmanship'.
SUBCULTURE janji tampil kelainan dari segi muzik dan 'showmanship'.

Penyanyi Joanna & Co, Joanna Renisa berkata, perasaan terujanya sukar digambarkan kerana mereka hanya terbabit dalam beberapa persembahan di luar Kuala Lumpur pada tahun ini.

"Joanna fokus buat album terbaharu yang keluar tahun depan. Namun, kami pun dah mula praktis kerana konsert ini berbeza dengan gig. Kami tak pernah lagi bergabung dengan band lain dalam konsert sebesar ini.

"Yang paling penting saya nak sampaikan mesej walaupun dari genre berbeza kami boleh bersatu dalam konsert sebesar ini. Tiada isu siapa yang menonjol atau tenggelam.

"Selain album baharu, empat band yang terbabit dalam Konsert Indie Alliance juga akan bekerjasama hasilkan kompilasi 10 lagu baharu yang dilancarkan pada 1 Januari nanti," katanya.

THE Times akan mainkan lagu yang jarang dinyanyikan.
THE Times akan mainkan lagu yang jarang dinyanyikan.

Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), setiap mereka mempunyai lagu baharu dan ia kemudian dicadangkan ditampilkan menerusi album terbabit.

Kumpulan Gerhana Skacinta pula diakui aktif dengan pelbagai show di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Edy J Herwan selaku penyanyi dan pemain gitar berkata, mereka bagaimanapun akan melakukan kelainan dari segi gimik untuk konsert ini.

"Dalam Disember nanti baru kami akan mula buat persiapan susun lagu dan cari gimik yang sesuai untuk diketengahkan.

JOANNA & Co fokus buat album terbaharu yang keluar tahun depan.
JOANNA & Co fokus buat album terbaharu yang keluar tahun depan.

"Bagi kami Konsert Indie Alliance berbeza dengan show lain. Kami kena ada energi untuk persembahan selama satu jam.

"Persediaan fizikal dan mental perlu dibuat secukupnya untuk menghiburkan peminat yang datang nanti," katanya.

Penyanyi Subculture, Azreen pula berkata, mereka akan tampilkan kelainan dari segi muzik dan 'showmanship'.

"Peminat kami golongan berusia dan kami akan mainkan lagu dari barisan album Subculture. Boleh dikatakan muzik kami adalah muzik yang matang.

"Kami menyeru peminat punk rock supaya datang menonton kerana ada kejutan untuk mereka nanti," katanya yang aktif bermain muzik sejak 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2022 @ 6:00 AM