Pelakon, Sweet Qismina dan Adam Lee. Foto Hairul Anuar Rahim
Pelakon, Sweet Qismina dan Adam Lee. Foto Hairul Anuar Rahim
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pasangan selebriti, Sweet Qismina dan Adam Lee saling mengingatkan diri untuk mengekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga yang dibina sejak setahun lalu.

Sweet berkata, isu 'penyondol' yang berlaku di set penggambaran tidak menghakis kepercayaannya terhadap Adam kerana mengenali keperibadian suaminya itu. "Sebelum bertunang lagi saya sudah melihat sisi peribadi dan perwatakan Adam, lebih-lebih lagi di set penggambaran.

"Saya selalu perhatikan perwatakannya. Adakah dia seorang yang suka 'flirt' di set atau bagaimana? Tapi ternyata sikap Adam berbeza.

"Dia lebih suka buat hal sendiri. Apabila dapat skrip dia akan fokus dengan kerja yang perlu disiapkan.

"Satu hal lain yang buat saya tidak risau kerana kerjaya kami diuruskan oleh ibu saya, jadi apa saja yang berlaku di set penggambaran kami berdua pasti tahu," katanya ketika ditemui pada sidang media drama Cik Misi 123, di sini, semalam.

Dalam masa sama, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi berkata, menolak tanggapan orang yang mendakwa penerbit wajib mengambil mereka berdua dalam satu drama atau filem.

"Kami tak pernah letakkan syarat wajib untuk penerbit ambil kami berdua. Kami sendiri bimbang penonton rasa muak dan bosan apabila kerap melihat kami bersama.

"Saya sendiri pun akan berasa perasaan yang sama jika ada pasangan pelakon lain yang kerap muncul dalam satu drama kerana kami gemar menonton drama," katanya.

Untuk rekod, Sweet dan Adam mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober tahun lalu yang mana jatuh pada hari lahir Sweet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 5:58 PM