Ridzuan Abdul Rahman


WALAUPUN mencetuskan kontroversi kerana berpenampilan wanita ketika mengerjakan ibadat umrah di Makkah serta bertubi-tubi dikecam masyarakat, usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat tetap tenang menjalani ibadat sepanjang di sana.

Dalam video pendek yang dikongsi di Instagram semalam, Sajat turut mengambil kesempatan melakukan amal jariah apabila bersedekah makanan kepada masyarakat di sana.

“Fi Sabilillah Sadaqah Jariah di Kota Makkah. Saya tenang di sini, kalau boleh nak sentiasa berada di sini. Jika banyak lagi masa, hari-hari saya nak bagi macam ni, Insya-Allah,” katanya yang mengimpikan untuk terus berada di situ dan sentiasa melakukan amalan bersedekah.

Bagaimanapun, Sajat yang masih kekal dengan penampilannya berjubah dan mengenakan tudung hitam terus menerus menerima kecaman masyarakat.

Rata-rata mereka mengecam penampilannya serta mengambil perhatian terhadap teguran-teguran yang diberikan.

Ada yang mempertikaikan soal muhrimnya apabila dihimpit golongan wanita. Tidak kurang juga memintanya supaya dia merendahkan ego dan kembali ke pangkal jalan.

“Tempuhi kebenaran dengan hati yang reda, semoga beroleh hidayah dari Allah SWT. Sedekah tak salah, yang salah menidakkan ciptaan Allah.

Tidak terkecuali ada juga segelintir netizen yang mempertahankan Sajat.

“Janganlah menghukum, kita bukan Tuhan nak tentukan dosa dan pahala seseorang. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui, cukup jaga amalan sendiri,”

Bagaimanapun, video yang dimuat naik di Instagram itu sudah dipadam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 2:17 PM