K-CLIQUE rangkul gelaran Rappers Paling Onz dan Lagu Featuring Hit. FOTO AMIRUDIN SAHIB
K-CLIQUE rangkul gelaran Rappers Paling Onz dan Lagu Featuring Hit. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Sudirman Mohd Tahir


Kumpulan rap yang kian meningkat naik, K-Clique unggul pada Anugerah Digital Muzik Era (EDMA 2019) yang berlangsung malam tadi apabila memenangi dua daripada lima kategori dipertandingkan.

Anugerah yang dimenangi itu adalah Lagu Featuring Hit iaitu Mimpi (K-Clique feat Aliff) dan Rappers Paling Onz.

Itu juga anugerah pertama diterima mereka selepas muncul dalam industri muzik.

“Terima kasih kepada semua yang mengundi. Kami memang tidak menjangka akan menang sebab calon lain semuanya hebat dan popular. Tapi anda sudah memberikan kepercayaan kepada kami. Terima kasih juga pada pihak Era kerana mencalonkan kami,” katanya wakil kumpulan K-Clique, MK.

Menerusi kategori Rappers Paling Onz, K-Clique menewaskan Zizi Kirana, Aman Ra, Bunga dan Kid Santhe.

Sementara itu, Andi Bernadee juga berpuas hati apabila dinobatkan Lagu Viral Onz menerusi lagu Donde.

Ia juga kemenangan pertama Andi pada acara anugerah selepas hampir tiga tahun berada dalam industri muzik.

“Alhamdulillah, terima kasih Allah atas rezeki ini. Pastinya, tanpa sokongan dan undian peminat, saya tidak menang.

Andi Bernadee bawa pulang anugerah Lagu Viral Onz menerusi lagu Donde.
Andi Bernadee bawa pulang anugerah Lagu Viral Onz menerusi lagu Donde.

“Sejujurnya, ketika melancarkan lagu ini saya tidak meletakkan sebarang harapan tinggi. Saya hanya mahu peminat menikmati muzik saya.

“Tidak menjangka ia diterima baik dan tular. Sehinggakan orang panggil saya dengan Donde,” katanya.

Lagu Donde menewaskan lagu Sumpah (Naim Daniel), Haa Tepok (Meer Fly, Kid Santhe& MK), Mimpi (K-Clique feat Aliff) dan Hutang (Floor 88).

EDMA 2019 adalah anjuran stesen radio nombor satu, Era bagi menghargai bakat tempatan tanah air.

Acara yang berlangsung di Battle Arena, Petaling Jaya, malam tadi itu adalah penganjuran keempat sekali gus melihat ramai penyanyi muda mendominasi pencalonan anugerah digital.

Menariknya kali ini, EDMA 2019 turut mengangkat kelab peminat selebriti sebagai satu anugerah bagi menghargai sokongan mereka selama ini.

Bagi kategori itu, kelab peminat penyanyi, Haqiem Rusli iaitu Qiemillio Official FC memenangi kategori Fan Club Paling Ngam.

Sementara itu, penyanyi, Luqman Faiz dipilih sebagai Artis Baru Baek yang menewaskan Naim Daniel, Kuchaimars, Fieya Julia dan Muna Shahirah.

EDMA 2019 kali ini turut dimeriahkan dengan persembahan hebat daripada Naim Daniel, Andi Bernadee, Luqman Faiz, K-Clique, Floor 88, Zizi Kirana dan ramai lagi.

Undian EDMA 2019 bermula pada 23 Disember 2019 sehingga 16 Januari di laman web Era.

Qiemillio Official FC menang gelaran Fan Club Paling Ngam. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Qiemillio Official FC menang gelaran Fan Club Paling Ngam. FOTO AMIRUDIN SAHIB

Berikut senarai lengkap pemenang Anugerah Muzik Digital Era (EDMA 2019).

Lagu Featuring Hit

Mimpi - K-Clique feat Alif

Fan Club Paling Ngam

Qiemillio Official FC (Haqiem Rusli)

Artis Baru Baek

Luqman Faiz

Rappers Paling Onz

K-Clique

Lagu Viral Onz

Donde - Andi Bernadee

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 12:02 AM