Kumpulan K Clique di studio NSTP, Balai Berita. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Kumpulan K Clique di studio NSTP, Balai Berita. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kumpulan hip hop popular tempatan, K-Clique tidak menyangka apabila dicalonkan dalam kategori Artis Asia Tenggara Terbaik untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2020 (MTV EMA 2020) yang akan berlangsung pada 8 November ini.

Salah seorang anggotanya, Somean berkata, pengiktirafan itu sangat besar kerana mereka adalah pendatang baharu dalam industri muzik tempatan dan kini nama mereka harum di pentas antarabangsa pula.

"Semestinya sangat bersyukur memandangkan kami bukan siapa-siapa. Kini kami sudah ke pentas antarabangsa pula. Tidak terjangkau akal bahawa suatu hari nanti kami akan dicalonkan untuk MTV EMA.

"Apa yang kami usahakan selama ini hanyalah untuk menghasilkan muzik terbaik dan berkualiti. Dalam setiap penghasilan karya, kami lakukannya seikhlas hati dan menyerahkan kepada pendengar sama ada mahu menyukainya atau tidak," katanya.

Bakal berentap dengan artis nama besar dalam kategori itu seperti Agnez Mo dari Indonesia, Ben & Ben (Filipina), Benjamin Kheng (Singapura), Violette Wautier (Thailand) dan Jack (Vietnam), K-Clique menyimpan harapan besar untuk menang.

"Memang besar harapan kami untuk menang disebabkan ia satu anugerah yang cukup berprestij. Namun begitu, sudah dapat dicalonkan pun sangat membanggakan buat kami dan ia terlalu besar. Semoga peminat akan menyokong serta mengundi kami dalam misi menggenggam trofi berprestij itu," katanya.

Selain Somean, K-Clique turut dianggotai Tuju, Noki, MK, KDeaf, Gnello, FareedPF dan NastyNas. Kumpulan itu mencipta fenomena pantas selepas lagu-lagu seperti Mimpi dan terbaru Pulang berjaya diterima dengan luar biasa peminat muzik tempatan.

Terdahulu, penyanyi rap Joe Flizzow mencipta sejarah menjadi penyanyi sulung dari Malaysia memenangi trofi Artis Terbaik Asia Tenggara untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 yang berlangsung Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 4:05 PM