PANSHA (kiri) dan Ahmad (kanan) menghargai usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang menaikkan kadar bayaran penerbitan drama. FOTO Facebook Pansha dan Ahmad Ibrahim
PANSHA (kiri) dan Ahmad (kanan) menghargai usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang menaikkan kadar bayaran penerbitan drama. FOTO Facebook Pansha dan Ahmad Ibrahim
Syanty Octavia Amry


PERSATUAN Penerbit Filem Malaysia (PFM) menzahirkan sepenuh keyakinan terhadap Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Ahli Perbadanan FINAS bagi meneruskan pelaksanaan pembangunan perfileman tempatan.

Presidennya, Pansha berkata, PFM memahami dan mendapati banyak perancangan penambahbaikan terhadap industri perfileman tempatan yang sudah disusun dengan rapi oleh pihak pengurusan FINAS.

Katanya, perkara itu demi kebaikan industri dan penggiat seni yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat secara berperingkat.

“PFM juga amat menghargai inisiatif yang dilaksanakan oleh KKMM, RTM dan FINAS dalam usaha penambahbaikan industri kandungan kreatif dan menjaga kebajikan artis veteran.

“Selain itu, kenaikan kadar harga kandungan RTM, membuka ruang kepada industri untuk memberi pandangan dan pendapat dalam sesi ‘townhall’ dan sebagainya,” katanya.

Katanya, walaupun terdapat perbezaan pandangan dan pendapat dalam kalangan persatuan berkaitan demi kepentingan industri, PFM berharap semua penggiat seni tempatan atau persatuan yang berkaitan tidak mencampuri urusan pentadbiran FINAS.

“Saya berharap berilah peluang kepada pengurusan FINAS yang masih dalam penstrukturan baru ini untuk melaksanakan tugas penambahbaikan kepada industri perfileman tempatan,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), turut menyambut baik pengumuman kenaikan harga baru program televisyen di RTM oleh Menteri KKMM.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan dan kepekaan Menteri terhadap permasalahan yang membelenggu industri selama 30 tahun dengan penuh tanda tanya.

“Akhirnya Menteri mengambil langkah bijak di dalam menangani situasi ekonomi yang tidak menentu ini.

“Tahniah juga diucapkan kepada semua persatuan dan wakil industri kandungan kreatif negara yang berusaha bersungguh-sungguh untuk hal kenaikan harga ini,” katanya.

Mat London berkata, pihaknya berharap semua penerbit dapat berkongsi kadar kenaikan itu dengan semua pekerja belakang tabir khususnya sutradara yang bertanggungjawab menjalankan kerja penerbitan.

“Semoga berita ini memberi rahmat dan rangsangan awal supaya pihak atasan lebih peka terhadap masalah yang dilalui oleh golongan industri seni.

“Diharapkan industri filem dan kandungan kreatif di negara ini terus terbela,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Disember 2019 @ 8:26 PM