JUREY Latiff
JUREY Latiff
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengerusi Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), Datuk Jurey Latiff Rosli tampil membetulkan kenyataan tidak tepat daripada Presiden Persatuan Karyawan, Datuk Freddie Fernandez  yang mendakwa CCIG gagal memainkan peranan sebagai badan pentauliahan industri kandungan kreatif.

Jurey dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, berkata untuk makluman  CCIG sudah bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam perkongsian pangkalan data dan kerangka pengiktirafan industri kreatif sejak penubuhannya.

"Sebagai persatuan yang ditubuhkan pada 2011 dengan mandat Finas, CCIG sudah menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan fungsi dan peranannya selari dengan dasar serta hala tuju industri yang diterajui oleh Finas.

"Keputusan Finas untuk menjalankan pentauliahan dilihat sebagai satu tindakan yang tepat memandangkan Finas mampu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang dibawah Akta 244," katanya. 

Bagaimanapun, Jurey berkata CCIG berharap segala apa yang dirancang Finas mendapat kerjasama semua pihak demi kebaikan dan masa depan industri yang lebih cemerlang. 

"Apa yang penting adalah inisiatif ini tidak sepatutnya menjurus ke arah 're-inventing the wheel' dengan penubuhan persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang baharu sebaliknya ia mestilah sebuah badan yang bebas. 

"Adalah disarankan agar pihak Finas merujuk kepada persatuan-persatuan sedia ada khasnya CCIG yang sudah pun menyediakan dan membangunkan Kerangka Pengiktirafan Industri Kandungan Kreatif (CCRIF) yang merangkumi lebih 6641 ahli. 

"Seramai 445 ahli sudah mendapat pentauliahan dan daripada jumlah itu, kira-kira 191 ahli bertauliah profesional. CCIG juga adalah satu-satunya persatuan yang diiktiraf oleh badan profesional Malaysian Board of Technologists (MBOT) dan Producers Guild of America (PGA).

"Apabila Paducitra diperkukuhkan dengan setiap persatuan diberi pengkhususan, maka persatuan rojak tidak lagi diberikan peranan untuk terbabit  bagi memastikan setiap persatuan benar-benar fokus kepada satu bidang pekerjaan sahaja.

"CCIG juga berharap Finas tidak lagi melayan persatuan yang tiada pengkhususan kerana persatuan ini seperti 'jack of all trades master of none' yang membawa maksud tiada kepakaran dalam mana-mana bidang tetapi sentiasa menonjol menjadi tempat rujukan kepada semua bidang kerja," katanya.

 

Menurut Jurey, apa juga pembaharuan dan cadangan untuk industri diharap Finas dapat mengadakan perbincangan bersama pemegang taruh industri bagi memastikan keharmonian dan kerjasama erat dapat diberi oleh semua pihak.

Jelasnya lagi, kejayaan dasar-dasar kerajaan adalah apabila semua pihak yang berkepentingan dapat memahami aspirasi,memberikan pandangan dan cadangan serta membuat keputusan secara kolektif.

"CCIG juga berharap ahlinya yang sudah diberikan pentauliahan sebelum ini dapat diterimapakai oleh Finas dan seterusnya menjadikan mereka sebahagian pengkalan data baharu dalam proses pentauliahan atau akreditasi yang akan dijalankan oleh Finas.

"CCIG sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Finas dan berharap dengan sistem akreditasi ini akan menghasilkan tenaga kerja profesional yang mampu memulakan langkah ke arah Malaysia berjaya memenangi Oscar seperti diilhamkan Menteri Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah," katanya.

Terdahulu, menerusi kenyataan Freddie yang disiarkan media kelmarin, dia mendakwa CCIG sudah gagal dalam melakukan akreditasi serta mencadangkan kepada Finas untuk menubuhkan satu badan baharu sebagai badan induk mendapatkan pentauliahan Finas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 10:42 AM