HANS (kanan) dan Ahmad Idham dalam sidang media ConnectASIA 2019 Symposium & Networking anjuran bersama FINAS dan Creative Content Association Malaysia (CCAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO Aziah Azmee
HANS (kanan) dan Ahmad Idham dalam sidang media ConnectASIA 2019 Symposium & Networking anjuran bersama FINAS dan Creative Content Association Malaysia (CCAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). FOTO Aziah Azmee
Oleh Ardini Sophia Sina


PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menegaskan syarat untuk tidak membenarkan pelakon muda disolek bagi memegang watak orang tua dalam drama dan telefilem dibuat oleh stesen penyiaran dan bukannya keputusan FINAS.

Ditempelak berikutan kenyataan yang diberikan dua hari lalu, Hans ketika ditemui berkata, beliau tidak berkecil hati dengan maklum balas segelintir penggiat seni tanah air yang kurang bersetuju dengan syarat baharu itu kerana dilihat membataskan kreativiti mereka.

"Syarat ini dibuat oleh stesen penyiaran dan bukannya FINAS. Syarat ini adalah satu cara mereka untuk turut sama membantu serta terus memberikan peluang pada pelakon veteran yang masih ingin berkarya.

"Bukan mahu sekat kreativiti mereka tetapi sekiranya ada keperluan berbuat sedemikian, penerbit harus berbincang dengan stesen penyiaran itu sendiri.

“Saya rasa pihak penyiaran bersikap adil dan ada kelonggaran jika ia membantu untuk meningkatkan kualiti karya," katanya dalam sidang media ConnectASIA 2019 Symposium & Networking anjuran bersama FINAS dan Creative Content Association Malaysia (CCAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Hans yang juga pelakon, pengarah dan penerbit turut menjelaskan syarat itu bukanlah termaktub dalam undang-undang menyebabkan seseorang akan didenda sekiranya melanggar syarat berkenaan.

Katanya, semua itu terpulang pada hasil perbincangan stesen penyiaran serta pengarah mengenai pemilihan pelakon untuk sesebuah drama atau telefilem.

"Perbincangan ini dibuat bagi membantu golongan pelakon veteran yang masih mempunyai keinginan untuk terus berlakon. Bagaimanapun, buat masa ini kami belum tetapkan bayaran minimum untuk pelakon veteran.

"Saya harap industri faham apa yang cuba kami lakukan. Kami harap mereka beri masa kerana perkara yang dibincangkan hari ini bukannya boleh terus dilaksanakan esok. Ia mengambil masa panjang serta membabitkan ramai pihak," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri enggan mengulas lanjut mengenai saranan menapis kandungan Netflix.

"FINAS tiada kuasa untuk menapis. Itu sahaja yang saya ingin katakan, jawapan ada di situ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 4:54 PM