YUSOF (kiri) dan Rosyam minta semua pihak memainkan peranan untuk menjaga kebajikan pelakon veteran. FOTO Arkib NSTP
YUSOF (kiri) dan Rosyam minta semua pihak memainkan peranan untuk menjaga kebajikan pelakon veteran. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


BEBERAPA penerbit dan pengarah menyambut baik saranan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac yang melarang pelakon muda disolek memegang watak orang tua dalam drama atau telefilem mulai 1 Januari 2020.

Bagi mereka, apa ditekankan serta komitmen diberikan oleh semua stesen penyiaran seakan memberi sinar baharu buat pelakon veteran yang selama ini mengadu kekurangan tawaran berlakon.

Pemilik syarikat produksi Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Hans agak relevan dan perlu diambil positif oleh semua pihak.

“Dalam konteks pembikinan drama, watak pelakon pertengahan umur boleh disolek jadi tua dan ia dah berlaku sejak zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi.

“Tapi dalam keadaan sekarang ini, ramai pelakon veteran yang tiada kerja, bagi saya eloklah diberikan perhatian.

“Kita tahu perlu ambil pelakon muda tapi harus seimbang antara yang muda dan yang tua,” katanya.

Katanya, kenyataan ini bukan bermaksud beliau mendewakan pelakon veteran atau menolak pelakon muda, sebaliknya melihat situasi menang-menang kerana tanpa yang lama tiada yang baharu.

Penerbit Suhan Movies & Trading, Datuk Rosyam Nor berkata, setiap watak dalam cerita perlu dibawakan oleh pelakon yang benar-benar layak.

“Ini menampakkan drama itu lebih realistik, selain beri peluang kepada pelakon veteran yang dah banyak beri sumbangan kepada industri.

“Kalau kita bagi orang muda bawa watak tua, ia tak nampak realistik dan banyak juga orang pertikaikan.

“Lainlah kalau sesekali watak itu memerlukan satu bentuk lakonan seperti aksi dan dia mampu membawa watak itu dengan baik sebagai satu karakter, ia bukanlah masalah,” katanya.

Dalam masa sama, Rosyam turut menggesa pelakon veteran mendepani arus media terkini menggunakan sosial media yang menjadi satu medium publisiti diri mereka kepada masyarakat.

Bagi pengarah Rashid Sibir, setiap pihak perlu bijak mengimbangi pengambilan pelakon lama dan baharu dalam sesebuah drama.

“Kalau pelakon veteran tak diberi peluang berlakon, apa mereka nak makan? Lakonan adalah jiwa mereka.

“Saya cadangkan supaya stesen televisyen adunkan jika ada dua pelakon muda, kita masukkan juga dua pelakon veteran.

“Secara tak langsung, mereka ada pekerjaan nak dibuat. Kalau hanya diberi peluang kepada pelakon muda dan baru sehingga nak disolekkan jadi tua, apa nasib yang veteran?,” katanya.

Menurutnya, dia memahami sekarang adalah zaman artis baharu menyerlah tetapi nasib pelakon lama perlu dipertimbangkan juga.

Pengarah Eoon Shuhaini pula berkata, ini satu perkara positif yang boleh membantu pelakon veteran.

“Kita ada pelakon veteran dan tak perlulah sampai nak solekkan pelakon muda untuk jadikan tua. Ia nampak palsu.

“Apa yang saya faham, saranan Hans ini menjurus kepada cerita yang berat contohnya filem. Kecualilah cerita kelakar di mana seorang pelakon muda menyamar jadi tua.

“Biarlah watak orang tua diberikan kepada pelakon veteran. Saya lagi senang dapat bekerja dengan pelakon veteran kerana pengalaman yang mereka ada,” katanya yang menganggap pelakon veteran sebagai sumber inspirasi untuknya berkarya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 7:48 PM