BANGUNAN FINAS.
BANGUNAN FINAS.
Najiy Jefri

PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) mencadangkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) membuat pra-syarat baharu membabitkan penerbitan drama di Malaysia.

Syarat itu merangkumi seorang penerbit dihadkan menerbitkan 13 episod, pembabitan dua pelakon utama, pelakon baharu serta pelakon veteran yang sudah lama tidak muncul di kaca televisyen.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, langkah itu bagi melahirkan lebih ramai penerbit yang menerbitkan drama sekali gus memberi peluang kepada penggiat seni untuk bekerja.

"Saya menyambut baik hasrat Finas untuk membuka ruang kepada lebih ramai penerbit baharu dalam penerbitan drama tempatan. Cuma, apa yang terjadi hari ini kebanyakan stesen TV hanya memberi peluang kepada syarikat produksi yang sama sekali gus mendominasi kebanyakan slot yang disediakan. Jadi, ini menyebabkan syarikat produksi lain tidak dapat 'cari makan' dan menerbitkan karya mereka.

"Sekiranya pra-syarat ini dapat diterima dan dilaksanakan oleh FINAS, kita akan melihat satu transisi baharu dalam penerbitan drama di Malaysia. Dalam masa sama, akan lebih banyak sentuhan kreatif daripada produksi lain.

"Malah penetapan dari segi pelakon dapat memberi peluang kepada pelakon lain untuk menunjukkan bakat mereka supaya industri kita lebih berkembang dan bukannya pelakon yang sama sahaja di semua stesen TV," katanya.

Mat London berkata, cadangan yang dikemukakan ini juga membolehkan FINAS campur tangan dalam isu pemilihan pelakon.

"Soal pemilihan pelakon sering menjadi masalah utama apabila stesen TV dikatakan menjadi pihak penting dalam menentukan pelakon bagi sesuatu drama.

"Jika pra-syarat ini dilaksanakan FINAS, sekurang-kurangnya kita dapat lihat ada bakat lain yang mungkin jauh lebih bagus muncul di kaca TV dan bukan bersandarkan kepada populariti semata-mata," katanya.

Menurut Mat London, dia menyambut baik usaha FiINAS dalam menyalurkan bantuan berupa dana kepada penerbit baru.

"Ini satu peluang keemasan dalam melahirkan lebih ramai penerbit baharu. FDAM menyokong hasrat FINAS untuk memperbanyakkan penerbit baru terutama golongan muda sebagai pelapis yang sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 7:33 PM