NANI terkejut apabila ada pengarah membatalkan penggambaran hanya kerana bergaduh dengan kekasih hati. FOTO Mahzir Mat Isa
NANI terkejut apabila ada pengarah membatalkan penggambaran hanya kerana bergaduh dengan kekasih hati. FOTO Mahzir Mat Isa
Rudy Imran Shamsudin


PEMENANG anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-19, Sharifah Amani atau Nani mendedahkan ada penggiat seni yang tidak serius sewaktu bekerja dan sanggup menghentikan penggambaran kerana bergaduh dengan kekasih hati.

Pengakuan itu dibuat Nani sewaktu menjayakan program bual bicara Actors on Actors yang ditayangkan di YouTube, bersama pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik, FFM ke-29, Sangeeta Krishnasamy.

Program Actors on Actors, memberi ruang kepada penggiat seni untuk membicarakan mengenai apa saja perkara berkaitan dengan industri.

Sewaktu berkongsi pengalamannya bersama Sangeeta, kata Nani, di awal pembabitannya dalam dunia lakonan terutama ketika bekerja dengan pengarah hebat, Allahyarhamah Yasmin Ahmad, pelakon menjalani latihan terlebih dulu sebelum memulakan penggambaran.

“Setiap jabatan berkaitan dalam penghasilan sesebuah filem, akan melaksanakan tugas mereka dengan baik dan ia membolehkan seseorang pelakon itu melaksanakan tugas mereka juga dengan baik.

“Pelakon tidak perlu memikirkan apa yang harus dilakukan dari sudut persediaan pakaian mahupun keperluan lain,” katanya.

Ini berbeza apabila dia mula menerima tawaran untuk berlakon dengan produksi lain, apabila pelakon harus menyediakan apa yang diperlukan untuk wataknya sendiri.

Malah, lebih daripada itu, pelakon filem Sepet dan Gubra itu terkejut apabila ada pengarah membatalkan penggambaran hanya kerana bergaduh dengan kekasih hati.

“Bukan itu saja ada pengarah mempunyai dua monitor sewaktu penggambaran dijalankan. Satu digunakan untuk melihat babak lakonan dan satu lagi untuk bermain permainan video,” katanya.

Menurutnya, menerusi pengalaman itu dia nampak ada antara penggiat seni tempatan tidak serius dengan apa yang mereka lakukan.

Tambahan pula katanya, di Malaysia tiada perundangan membabitkan industri seni itu sendiri.

Sementara itu, Sangeeta menjelaskan perkara seperti itu berlaku kerana penggiat seni di Malaysia tidak mempunyai satu etika kerja standard.

Dalam perbincangan itu Sangeeta menyentuh mengenai pengkarya tempatan kurang mengupas dan menyentuh isu masyarakat minoriti dalam karya dihasilkan.

Kedua-dua pelakon itu juga bersetuju bahawa untuk menghidupkan industri filem tempatan, peranan kerajaan masih diperlukan bagi membantu penggiat seperti mana yang dilakukan oleh Korea dan India.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:05 PM