Anyeonghaseyo! Baru-baru ini rakyat Korea Selatan dikejutkan dengan tindakan ekstrem seorang lelaki yang menyerang Duta Amerika Syarikat di negara itu, Mark Lippert, 42.

Kejadian berlaku ketika Lippert hadir ke pusat seni persembahan di Seoul sebelum penyerang warga Korea Selatan yang dikenali sebagai Kim Ki-Jong, 55, tiba-tiba menghampiri Lippert dan menoreh mukanya.

Akibat kejadian memalukan rakyat Korea Selatan itu, Lippert terpaksa menerima 80 jahitan di mukanya.

Meskipun menerima ancaman itu, Lippert nampaknya tidak goyah sebaliknya mahu meneruskan misi diplomatik di negara itu. Dia sendiri mengakui tidak sabar untuk kembali bekerja selepas kecederaannya pulih.

Difahamkan, Ki-Jong yang pernah dipenjara sebelum ini kerana cubaan mencederakan Duta Jepun pada 2010 menyerang Lippert kerana menentang kerjasama ketenteraan antara AS dan Korea Selatan.

Beralih rangkuman kisah panas Ulzzang! minggu ini. Pelakon hebat Jisung berdepan ‘detik hitam’ apabila kehilangan suaranya sewaktu penggambaran drama Kill Me, Heal Me, baru-baru ini.

Menurut agensi pelakon itu, Namoo Actors, Jisung tiba-tiba hilang suara dan selepas dibawa ke hospital, pemeriksaan mendapati dia menghidap penyakit ‘acute vocal edema’.

Simptom itu berpunca daripada pita suaranya membengkak akibat jangkitan atau keradangan.

Berikutan kejadian itu, Jisung sangat kecewa kerana ia berlaku di saat-saat babak akhir penggambaran episod berkenaan.

Dia yang bimbang penggambaran terpaksa ditang­guhkan akibat perkara itu tetap hadir ke set penggambaran walaupun dilarang doktor.

“Jisung sangat komited dengan kerjanya. Apabila orang di sekeliling mencadangkannya untuk berehat, dia akan lebih tertekan jika tidak dapat berlakon,” kata wakilnya.

Menurut kakitangan produksi drama itu, Jisung sedaya-upaya cuba menyembunyikan bahawa dia sebenarnya sakit. Sewaktu berehat pun, dia tetap meneliti skrip dan cuba menggambarkan aksi untuk babak seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 11:25 AM