HANS (tiga dari kanan) dan Ahmad Idham (kanan) bersama pengamal media pada Program Sinergi Industri FINAS Bersama Media. FOTO Nadim Bokhari
HANS (tiga dari kanan) dan Ahmad Idham (kanan) bersama pengamal media pada Program Sinergi Industri FINAS Bersama Media. FOTO Nadim Bokhari
Amirul Haswendy Ashari


"SESUATU yang mengejutkan akan diumumkan pada 1 Januari 2020," kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac.

Beliau yang ditemui pada program Sinergi Industri FINAS Bersama Media, berkata perkara yang bakal diumumkan itu adalah sebahagian daripada pembaharuan dalam industri seni yang diperjuangkan kebanyakan anak seni sebelum ini.

"Ia bakal menjadikan industri seni tempatan lebih dihormati sebagai penyumbang ekonomi negara yang mampu menjana kewangan lebih besar.

"Pada masa sama, kekayaan ini selain merancakkan ekonomi negara, ia akan diberi semula kepada penggiat seni tempatan," kata Hans enggan mendedahkan butiran lanjut.

Selain itu, Hans turut mengesahkan proses mewujudkan skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim Perumahan untuk warga seni sudah di peringkat akhir.

Katanya, setakat ini FINAS sudah bertemu dengan semua pihak berkaitan dan kebanyakan mereka bersetuju untuk melaksanakannya.

Pihak yang dimaksudkan termasuklah stesen televisyen, penerbit, KWSP, PERKESO, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kewangan.

"Jika tiada halangan, pengumuman rasmi akan dilakukan sekitar Ogos depan," katanya.

Caruman KWSP, PERKESO dan Perumahan adalah antara 15 manifesto yang dirangka Hans bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Ahmad Idham Nadzri sebaik saja dilantik menerajui FINAS pada April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:44 PM